Nasionalis desak Kor Ming letak jawatan

Aminuddin (empat dari kiri) dalam sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO yang dibuat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini pada Khamis.
Aminuddin (empat dari kiri) dalam sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO yang dibuat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) mendesak kerajaan memecat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa mencetuskan perpecahan kaum.

Ia susulan cadangan meletakkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, jika cadangan tersebut diiktiraf ia dibimbangi akan memberi kesan terhadap kedudukan orang Melayu.

Beliau turut mendakwa, usaha tersebut seolah-olah ingin mewujudkan satu bentuk pembunuhan etnik secara halus iaitu dengan memadamkan warisan Melayu yang sudah wujud ribuan tahun.

“Kenapa tidak memilih kampung Melayu dan tapak bersejarah tamadun asal Melayu negara ini sebagai Tapak Warisan UNESCO yang wujud sejak ribuan tahun lamanya?

“Mengapa beliau memilih Kampung Baru Cina yang wujud tidak sampai 80 tahun?

“Kami mendesak beliau meletakkan jawatan kerana mencadangkan dasar dan perancangan bersifat perkauman dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO yang dibuat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir menyuarakan bantahan cadangan itu ialah wakil kira-kira 50 NGO Melayu-Islam di negara ini.

Sebelum ini, Kor Ming mencadangkan agar mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Menurutnya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, beliau juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Warisan Dunia UNESCO.

Dalam pada itu, menurut Aminuddin, cadangan tersebut perlu ditolak kerana dibimbangi akan memadamkan sejarah orang Melayu di negara ini.

"Tindakan ini secara halus menggunakan pertubuhan luar untuk menekan kerajaan bagi mengiktiraf budaya dan bahasa luar di luar konteks Perlembagaan Persekutuan," katanya.