Kampung Baru Cina: Suara Anak Watan lancar petisyen dalam talian

Tangkap layar petisyen yang dilancarkan oleh Suara Anak Watan
Tangkap layar petisyen yang dilancarkan oleh Suara Anak Watan
A
A
A

SHAH ALAM - Suara Anak Watan melancarkan petisyen bagi membantah cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) secara dalam talian sejak Rabu.

Sehingga Khamis jam 5.30 petang, petisyen itu telah mencapai 16,986 orang berbanding 1 juta yang disasarkan pihaknya.

Setiausaha Suara Anak Watan, Abu Obaida berkata, ia sebagai tanda sokongan dan solidariti rakyat Malaysia untuk menentang cadangan tersebut.

“Usaha mengiktiraf ini etnosid dan berat sebelah. 100 tahun Kampung Baru terus dibiarkan serta terabai, hari ini Kampung Baru Cina pula yang mahu diangkat menjadi simbol penting negara kita.

“Tindakan terancang secara halus yang seakan ingin memadam sejarah dominasi kewujudan orang Melayu di Malaysia dan menyambung legasi penjajah British.

“Implikasi usaha ini akan menjadikan kebudayaan dan identiti kecinaan dipaksakan kepada masyarakat asal negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun tahun lalu, beliau juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Tambah Abu, identiti asal negara perlu dipertahankan serta dijaga dan bukan identiti pihak luar.