Bekas pengawal keselamatan tak mengaku cabul murid Tahun Satu

Mohd Ridzwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang murid Tahun Satu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat.
Mohd Ridzwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang murid Tahun Satu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang bekas pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas tuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang murid Tahun Satu pada Jumaat.

Tertuduh, Mohd Ridzwan Mahmud@Mahamood, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan di hadapan Hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ridzwan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 7 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan kelas salah sebuah sekolah kebangsaan di daerah Hilir Perak, kira-kira jam 6.45 pagi, pada 31 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar mencadangkan jaminan sejumlah RM20,000 terhadap tertuduh bersama syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi meminta jaminan lebih rendah kepada anak guamnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam selain tertuduh mempunyai komitmen menjaga ibu berusia 78 tahun yang uzur.

Pihak pembelaan turut merayu mahkamah agar anak guamnya menjalani pemeriksaan mental daripada pakar melalui nasihat pakar psikiatri.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran kediaman selain tidak mengganggu mangsa.

Tertuduh juga diperintah untuk dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh, bagi mendapatkan laporan daripada pakar psikiatri dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan.

Pada 1 Februari lalu, media melaporkan pengawal keselamatan tersebut ditahan polis selepas disyaki mencabul murid perempuan Tahun Satu di sebuah sekolah di sini.

Laporan diterima sekitar jam 10 pagi daripada rakan setugasnya yang melihat suspek bertindak memeluk dan mencabul kehormatan kanak-kanak berkenaan di hadapan sebuah kelas.