Semak kesahihan tawaran belajar di universiti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar atau ibu bapa disaran melakukan semakan secara terus dengan pihak universiti sekiranya menerima sebarang tawaran bagi mengikuti program pengajian di mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA) melalui syarikat tertentu.

Presiden Persatuan Kebangsaan Institut Pengajian Tinggi Swasta Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, syarikat perunding sememangnya wujud dalam industri pendidikan tinggi yang merupakan rakan kerjasama dengan pihak universiti.

Menurutnya, syarikat terbabit dilantik secara sah mengikut syarat persetujuan bagi tujuan pengambilan pelajar baharu, namun penempatan dan pembelajaran adalah di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Syarikat yang menjadi rakan kerjasama universiti ini bukan satu kesalahan tapi mungkin wujud kekeliruan jika beranggapan pelajar yang diterima masuk itu akan belajar di IPTA tersebut.

“Sukatan pelajaran memang sepenuhnya daripada IPTA terbabit tetapi tempat belajar adalah di IPTS.

“Justeru, saya sarankan agar pelajar dan ibu bapa membuat semakan terus dengan menghubungi pihak IPTA atau IPTS terbabit sekiranya ada syarikat tertentu yang menawarkan peluang melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sindiket yang menyediakan jaminan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke IPTA dengan bayaran RM150 sebagai caj yuran proses pendaftaran.

Katanya, pihak universiti turut dinasihatkan berhati-hati melantik syarikat rakan kerjasama bagi tujuan pengambilan pelajar baharu.

Artikel Berkaitan:

“Mengenai caj dikenakan syarikat berkenaan, ia bergantung kepada persetujuan bersama pihak universiti.

“Maka pelajar dan ibu bapa kena semak sama ada caj itu sudah termasuk dalam yuran pendaftaran atau pengajian,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj RM150 jaminan tempat ke IPTA