Pahang Buka Cawangan Maahad Tahfiz Negeri di Lipis

Wan Rosdy (tengah) ketika menyempurnakan simbolik pecah tanah MTNP Cawangan Lipis di Kampung Bapong, Kuala Lipis di sini pada Khamis.
Wan Rosdy (tengah) ketika menyempurnakan simbolik pecah tanah MTNP Cawangan Lipis di Kampung Bapong, Kuala Lipis di sini pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang terus melakar sejarah dengan penubuhan maahad tahfiz milik kerajaan negeri pertama di Pahang Barat iaitu Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Cawangan Lipis.

Kompleks didirikan di atas tapak berkeluasan 1.62 hektar dengan kapasiti 150 pelajar untuk aliran menengah itu dijangka siap pada April 2026 dengan jumlah kos sebanyak RM15 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang giat membangunkan pendidikan tahfiz bermula dari peringkat awal persekolahan sehinggalah ke peringkat diploma.

Wan Rosdy (tengah) ketika mendengar penerangan daripada Mahmud (kanan) mengenai tapak projek MTNP Cawangan Lipis
Wan Rosdy (tengah) ketika mendengar penerangan daripada Mahmud (kanan) mengenai tapak projek MTNP Cawangan Lipis

Menurutnya, ia dapat dilihat dengan perkembangan pesat pendidikan tahfiz di negeri itu setakat ini.

"Kita mempunyai Tadika Tahfiz Negeri Pahang, bermula dengan sebuah cawangan pada tahun 2018 di Pekan sehinggalah kini kita mempunyai 21 buah tadika tahfiz di seluruh Pahang.

"Apa yang menariknya mengenai modul pendidikan tadika tahfiz ini ialah ia diguna pakai di peringkat Pusat iaitu 100 buah Tabika Kemas pada peringkat permulaan, dan saya difahamkan modul ini mula berkembang serta digunakan di 4,000 Tabika Kemas seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah MTNP Cawangan Lipis di Kampung Bapong, Kuala Lipis di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mahmud
Mahmud

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Ujar Wan Rosdy, perkembangan itu menepis persepsi Pahang tidak islamik sebaliknya kerajaan negeri mengambil berat dengan perkembangan Islam di negeri tersebut.

"Malah kerajaan negeri juga turut memperuntukkan RM162.5 juta ringgit pada tahun ini bagi meningkatkan syiar Islam di Pahang.

"Kita juga menghantar pelajar ke luar negara seperti ke Mesir, Jordan dan terkini ke Morocco. Satu memorandum persefahaman (MOU) akan dibuat dalam tempoh terdekat dengan kerajaan sana dan dimaklumkan mereka akan menaja pelajar Pahang belajar di Morocco," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga menegaskan aspek keselamatan pelajar tahfiz negeri di Pahang menjadi keutamaan pihaknya.

"Kita mementingkan aspek keselamatan, jika tidak dapat kelulusan daripada pihak bomba khususnya ia tidak dibenarkan beroperasi dengan pemantauan dari semasa ke semasa," ujarnya lagi.

Sementara itu, Mahmud memberitahu, terdapat kira-kira 1,200 pelajar tahfiz termasuk tadika di bawah kendalikan Yayasan Pahang setakat ini.

"Kita ada tiga tahfiz terdiri MTNP, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang dan 21 buah tadika tahfiz dengan tiada isu keselamatan kerana setiap fasiliti mendapat kelulusan pihak berkuasa," jelasnya.