Inspektor, Sarjan tak mengaku bersalah samun RM5,150

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama seorang Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan kes samun membabitkan kerugian bernilai RM5,150, minggu lepas.

Tertuduh, Inspektor Mohd Hafiz Mohd Tamin, 42, dan Sarjan Mohd Izuddin Mohd Ariffin, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mohd Izuddin berdepan dengan dua pertuduhan manakala Mohd Hafiz pula berdepan satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu didakwa melakukan pemerasan terhadap Mohd Muhaimin Jasmani, 34, dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa pada 1 Februari lepas di dalam kenderaan polis, di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, di sini.

Mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan wang sebanyak RM5,000 yang dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak tersebut sebagai balasan agar mangsa tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh tertuduh.

Kesalahan itu membolehkan tertuduh dihukum di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Izuddin turut didakwa atas kesalahan yang sama kerana memaksa mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM150 di seberang jalan kedai serbaneka di Bukit Bayas, pada jam 8.40 malam.

Jika sabit kesalahan, kedua-kedua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Majistret Nik Mohd Tarmizie membenarkan Mohd Izuddin diikat jamin RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin manakala Mohd Hafiz dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 juga dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser turut perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 dan 15 hari bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nuraisyah Mohamad.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Bernama