Angpau berisi wang dalam lokar kesalahan serius - KPN

Razarudin pada sidang media selepas majlis pelancaran Op Selamat 21 dan VSP 2.0 sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS hari ini. Foto Bernama
Razarudin pada sidang media selepas majlis pelancaran Op Selamat 21 dan VSP 2.0 sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan menerima sampul angpau berisi sejumlah wang oleh seorang anggota di Balai Polis Setapak disifatkan satu kesalahan yang serius.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana tindakan pihak terlibat menerima imbuhan khususnya ketika sedang bekerja boleh dipersoalkan, selain dikaitkan dengan unsur rasuah.

"Tindakan menerima sebarang bentuk wang atau imbuhan ketika sedang bekerja adalah salah kerana ia boleh dipersoalkan serta dikaitkan dengan elemen rasuah," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 21 dan lerasmian VSP 2.0 Tahun Baharu Cina di Persada Plus di sini pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selepas dikesan menyimpan beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya pada Isnin.

Wang tunai itu ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah balai di Kuala Lumpur oleh JIPS, Bukit Aman.

Dalam pada itu, Razaruddin memuji tindakan pihak JIPS Bukit Aman yang menjalankan pemeriksaan terhadap anggota balai polis dalam daerah Wangsa Maju itu.

"Ia jelas menunjukkan saranan saya yang dibuat pada 1 Februari lalu, telah mula membuka mata semua pegawai dan anggota yang berada pada peringkat penyelia.

"Pada majlis itu saya beri saranan kepada semua Ketua Polis Negeri, komandan-komandan, ketua polis daerah yang mana mereka juga adalah penyelia. Saya juga adalah penyelia kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam kes di Balai Polis Setapak penyelia yang bertugas tidak menjalankan tugas seperti yang disarankan.

"Penyelia yang baik akan buat pemeriksaan dan bukannya ada penemuan angpau," katanya.

Mengulas lanjut katanya, setiap penyelia perlu memeriksa buku poket anggotanya serta jumlah wang saku tidak boleh melebihi RM100 seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) penugasan.

"Saya nak beri satu contoh, sekiranya anggota terbabit mengisytiharkan jumlah wang sakunya berjumlah RM100 semasa keluar bertugas, namun apabila dia kembali ke balai polis dan didapati mempunyai RM400 kerana telah mengeluarkan wang pada hari gajinya dari bank, ia tidak mempunyai kesalahan selagi dia mampu menunjukkan bukti resit pengeluaran," ujarnya.

Dalam masa sama, Razarudin turut menegaskan semua pegawai dan anggota polis terus memainkan peranan sebagai penyelia dalam memastikan perkhidmatan kepolisan dijalankan dengan jujur dan amanah.