Bekas penjaga stor didakwa simpan 30,460 liter diesel tanpa lesen

Hoe Kee (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Hoe Kee (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Bekas penjaga stor didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, pada Rabu atas pertuduhan menyimpan 30,460 liter diesel tanpa lesen di sebuah premis di Krubong, dua tahun lalu.

Chee Hoe Kee, 54, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua warga Bangladesh iaitu Md Masud Rana dan Jamal Uddin mempunyai dalam kawalan barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel sebanyak 30,460 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 31(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 September 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Namun, hanya Hoe Kee berada di mahkamah, manakala dua warga Bangladesh terbabit tidak hadir.

Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Norhysham Md Noor memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula bagi lantikan peguam dan penyediaan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan turut memaklumkan saman belum dapat diserahkan kepada dua warga asing terbabit.

Sementara itu, tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan tidak berkemampuan kerana tidak lagi bekerja.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin, selain menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes serta status saman kepada dua Orang Kena Saman (OKS).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!