4 pengarah syarikat didakwa jalankan perniagaan tanpa lesen

Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik tanpa lesen yang sah pada Oktober 2022.
Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik tanpa lesen yang sah pada Oktober 2022.
A
A
A

GEORGE TOWN - Empat pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik tanpa lesen yang sah pada Oktober 2022.

Tan Kwong Yeow, 35, Ooi Chuen Chie,35, Lim Shing Yee, 31 dan Seow Ming Cjoy, 32, dituduh secara berasingan telah menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik iaitu Career Opportunity Plan (COP) tanpa suatu lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung mengikut Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Sementara itu, syarikat yang diwakili empat tertuduh, Quinton Group Sdn Bhd turut menghadapi satu pertuduhan yang sama iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik tanpa lesen yang sah.

Kelima-lima pertuduhan itu didakwa dilakukan di Wisma Quinton, No 11, Jalan Ahmad Nor, Pusat Perdagangan Nova, 11600 Jelutong di sini pada jam 5 petang, 19 Oktober 2022.

Oleh demikian, keempat-empat tertuduh tersebut didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(2)(a) akta sama.

Kwong Yeow, Chuen Chie, Shing Yee dan Ming Cjoy diwakili peguam Mohd Asri Abdul Hamid.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazwani Zawawi di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Ketika prosiding, Shazwani memohon keempat-empat tertuduh setiap seorang diberi jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Shazwani turut memohon tiga syarat tambahan kepada semua tertuduh iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sepanjang kes dibicarakan, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan dengan apa cara sekali pun.

Mohd Asri kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain tidak mempunyai pekerjaan tetap sepanjang mereka ditahan.

Selepas mendengar rayuan tersebut, Mazdi menetapkan wang jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain membenarkan tiga syarat tambahan yang dipohon Shazwani.

Kes ditangguhkan sehingga 29 November ini bagi menunggu semakan dokumen dan sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!