Kes langgar pelajar: Keluarga lantik peguam, serah semua bukti video

Nur Zawanie (dua dari kanan) bersama abang, Zarul Fitri, 29, (kiri) dan ibu bapa mereka, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dan Mimi Julia Ismail, 50, dalam sidang akhbar pada Ahad.
Nur Zawanie (dua dari kanan) bersama abang, Zarul Fitri, 29, (kiri) dan ibu bapa mereka, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dan Mimi Julia Ismail, 50, dalam sidang akhbar pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Keluarga pelajar lelaki yang meninggal dunia akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini sudah melantik peguam untuk mewakili mereka mengambil tindakan undang-undang.

Kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, berkata, langkah itu sebagai usaha pihak keluarga memastikan keadilan dalam kes berkenaan dapat terlaksana sebaiknya.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya sedang mengumpul segala bukti dan video kejadian itu untuk diserahkan kepada peguam.

"Sudah ada saksi dan beberapa video, semua itu sudah diserahkan kepada peguam yang dilantik untuk uruskan, tetapi saya merayu ihsan semua terutama mereka yang masih ada video kejadian, berikan kepada keluarga supaya dapat dijadikan bukti.

"Sebagai wakil keluarga, saya hanya minta semua rakyat Malaysia mendoakan keadilan buat adik saya, letakkanlah sedikit rasa simpati kepada keluarga kami ini," katanya dalam sidang akhbar khas di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini pada Ahad.

Lantikan peguam dibuat menerusi Syarikat Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Pengarah bersama (managing partner), Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan melihat kepada dua perkara dalam siasatan kes itu iaitu berkaitan perlakuan jenayah dan tuntutan sivil terhadap mangsa.

Wan Azmir (duduk, dua dari kiri) ketika mengunjungi ahli keluarga mangsa di kediaman mereka di Taman Chepor Sentosa pada Ahad.
Wan Azmir (duduk, dua dari kiri) ketika mengunjungi ahli keluarga mangsa di kediaman mereka di Taman Chepor Sentosa pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Tugasan kami untuk memastikan siasatan dibuat secara telus dan kami juga diarahkan untuk melihat tindakan sivil terhadap suspek sama ada kerajaan atau polis juga adalah pihak-pihak yang perlu kami ambil tindakan.

"Tindakan sivil itu termasuklah pampasan sewajarnya yang dapat diberikan atas kematian arwah," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya akan memeriksa laporan perkembangan siasatan dijalankan polis untuk dijadikan indikasi hala tuju siasatan seterusnya.

"Proses pengumpulan bukti sedang dilakukan dan Insya-ALLAH dalam dua atau tiga hari ini kami dapat hadapkan semua pembuktian ini kepada polis agar dapat membantu siasatan dan tuntutan terhadap kejadian tersebut," katanya.

Suspek kejadian, seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun berpangkat deputi superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin.

Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.