Persempadanan Selangor-KL dijangka selesai 2025

Amirudin ditemui selepas menerima lawatan dan mengadakan perbincangan dengan Zaliha (kanan) di Shah Alam.
Amirudin ditemui selepas menerima lawatan dan mengadakan perbincangan dengan Zaliha (kanan) di Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur dijangka akan selesai menjelang 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persempadanan itu penting termasuk dari segi pembayaran cukai, penguatkuasaan dan penyelenggaraan utiliti antara dua negeri.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat beberapa butiran yang perlu dimuktamadkan menjelang tarikh tersebut.

"Berdasarkan pengalaman lalu persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur ini agak rumit.

"Ini kerana ia melibatkan premis dan kawasan-kawasan telah tepu bina berbanding dengan kawasan hutan dan pertanian yang pernah ditandatangani bersama Pahang dan Negeri Sembilan," katanya.

Menteri Besar ditemui selepas menerima lawatan dan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa di sini pada Isnin.

Pada 9 Januari lalu, dalam Sesi Temu Rapat Dr Zaliha bersama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan itu memaklumkan terdapat 26 kawasan pertindanan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dikenal pasti.

Selain itu, antara permasalahan lain yang timbul dan menjadi aduan susulan isu persempadanan itu adalah berkaitan bayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kesukaran kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan, kedua-dua negeri akan bergantung kepada penjanjian lama seperti Penjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Penyerahan Wilayah Persekutuan selain beberapa penjanjian persetujuan yang lain.

“Dulu tiada ukur tentu halus dan sekarang ini perlu ditetapkan sebetulnya supaya sah dan tepat. Insya-Allah, kedaulatan setiap tapak dan inci bagi tanah di kedua tempat akan dipelihara.

“Sebelum ini, kita telah tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU). Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri Selangor,” katanya.

Dalam masa sama, Amirudin turut menegaskan bahawa persempadanan itu tidak mempunyai sebarang kaitan kawasan pilihan raya.