Ekonomi digital Malaysia mampu capai AS$30 bilion menjelang 2025

Ekonomi digital Malaysia mampu mencapai potensi penuh sebanyak AS$30 bilion (RM139 bilion) dalam nilai dagangan kasar (GMV) menjelang 2025. - Foto 123RF
Ekonomi digital Malaysia mampu mencapai potensi penuh sebanyak AS$30 bilion (RM139 bilion) dalam nilai dagangan kasar (GMV) menjelang 2025. - Foto 123RF
A
A
A

EKONOMI digital Malaysia mampu mencapai potensi penuh sebanyak AS$30 bilion (RM139 bilion) dalam nilai dagangan kasar (GMV) menjelang 2025, menurut laporan yang dikeluarkan secara bersama oleh syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat Google, syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan Singapura iaitu Temasek dan syarikat perunding global Bain and Company.

GMV merujuk kepada jumlah nilai barangan atau perkhidmatan yang telah dijual.

Google, Temasek serta Bain and Company dalam satu kenyataan bersama pada Isnin berkata, edisi kelapan e-Conomi SEA mendedahkan bahawa Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam rangkuman digital, dengan memperluaskan sambungan ke kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang ketersambungan.

"Peratusan isi rumah yang mempunyai akses internet telah meningkat daripada 76 peratus kepada 97 peratus di kawasan bandar serta daripada 49 peratus kepada 89 peratus di kawasan luar bandar antara 2015 dan 2022,” kata mereka.

Bagaimanapun, pengguna di luar kawasan metropolitan berisiko menghadapi jurang ekonomi digital yang semakin meluas dari segi penyertaan digital iaitu penglibatan aktif dalam ekonomi digital melalui penggunaan produk atau perkhidmatan merentas sektor.

Di Malaysia, pengguna bernilai tinggi (HVU) ini membelanjakan 5.3 kali ganda jumlah yang dibelanjakan oleh bukan HVU dalam talian, yang mana lebih separuh daripada HVU tinggal di luar kawasan metropolitan, membuktikan bahawa peluang untuk perniagaan digital berkembang wujud di luar kawasan metro seperti Kuala Lumpur dan Selangor

Sebagai perbandingan, lebih 70 peratus nilai transaksi ekonomi digital di Asia Tenggara dijana oleh 30 peratus pembelanja teratas.

"Merapatkan jurang penyertaan digital adalah tanggungjawab kolektif semua pihak berkepentingan ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

"Menghapuskan halangan, seperti isu bekalan serta keselamatan, boleh meningkatkan penyertaan bukan HVU dan membolehkan ekonomi digital Malaysia mencapai potensi penuhnya sebanyak AS$30 bilion (RM139 bilion) GMV menjelang 2025,” tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!