Gantung premis urut: Ambil kira pandangan OKU penglihatan

SBM berharap sebarang keputusan dibuat nanti tidak akan menjejaskan rezeki pencarian juru urut OKU penglihatan.
SBM berharap sebarang keputusan dibuat nanti tidak akan menjejaskan rezeki pencarian juru urut OKU penglihatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) mencadangkan kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk wakil orang kurang upaya (OKU) penglihatan berhubung penggantungan sementara premis kedai urut tradisional dan refleksologi.

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi Jawatankuasa Utama Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Dr Wong Huey Siew dan Presiden SBM, Mohammed Nazari Othman berkata, pada masa ini ramai dalam kalangan OKU penglihatan bergantung kepada pekerjaan itu untuk kelangsungan hidup.

Justeru, SBM berharap sebarang keputusan dibuat nanti tidak akan menjejaskan rezeki pencarian juru urut OKU penglihatan.

"SBM menyambut baik kajian semula tentang peraturan operasi dan perkara tentang pelesenan agar ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

"Namun SBM berharap sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, elok pihak kerajaan memanggil libat urus semua pemegang taruh termasuk wakil daripada OKU penglihatan agar suara dan pandangan SBM turut diambil kira," kata kenyataan itu pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, SBM amat menghargai jika kerajaan terus menyokong OKU penglihatan untuk terus mengangkat martabat urut dan refleksologi jika ia dibuat dengan mematuhi etika serta peraturan sedia ada.

"Memang tiada masalah (jika premis kedai urut dan refleksologi mengikut peraturan dan berlesen), malah tidak sepatutnya dipandang secara negatif dan andaian yang tidak wujud atau bias," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, kementeriannya akan mengkaji keperluan untuk membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan: