Hormati keputusan Lembaga Pengampunan

Najib Tun Razak. Gambar fail Bernama
Najib Tun Razak. Gambar fail Bernama
A
A
A

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk meringankan hukuman beliau.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu ketika mesyuaratnya yang ke-61 pada 29 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan kenyataan ini, pelbagai reaksi telah timbul terutama dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

Antaranya adalah kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskaun hukuman yang diberikan kepada Najib.

Secara sinis beliau meminta seseorang untuk menghantarnya ke penjara selama setahun dan akan membayar RM50 juta sebagai pertukaran.

Pemuda UMNO pula mahu membuat laporan polis terhadap Tony Pua kerana didakwa mempersoalkan keputusan Agong.

Seharusnya semua pihak perlu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan kerana keputusan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong, sebagai raja berperlembagaan, telah berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan beberapa lagi mengenai perkara itu.

Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang tidak boleh dipersoal di Mahkamah.

Sebagai rakyat Malaysia adalah tidak sopan untuk terus mempertikai dan berbalah keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Janganlah ada pihak yang mempertikai walaupun hanya komen kecil di media sosial kerana ini akan mengundang reaksi negatif orang awam sehingga membawa kepada perbalahan.

Selain itu, keputusan Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib boleh dianggap sebagai isyarat bahawa kebebasan badan kehakiman negara masih bebas kerana hanya memendekkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun.

Diharap keputusan ini dapat dihormati dan semua pihak terutama pemimpin politik kembali fokus untuk membantu kerajaan menguruskan ekonomi negara.