Tony Pua dipanggil beri keterangan esok - KPN

Tony Pua
Tony Pua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dipanggil untuk direkod keterangan susulan kenyataan didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau berkata, Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan kenyataan berkenaan kira-kira jam 1 petang di Bukit Aman pada jam 1 tengah hari, esok.

"Kenyataan dikeluarkan itu didapati bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja.

"Ia berkenaan kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasa di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berkongsi maklumat salah sehingga boleh mengganggu siasatan.

"Mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara akan diambil tindakan tegas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskaun hukuman diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lembaga Pengampunan memutuskan memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.