'Selesaikan dulu isu jalan 'kolam' bukan masanya bubar DUN' - Aliakbar

Aliakbar
Aliakbar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa belum sesuai untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan ketika ini.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, masih banyak perlu diselesaikan di Sabah di mana negeri ini masih dibelengu dengan isu kemudahan asas yang tiada berkesudahan.

"Saya berpandangan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk membubarkan DUN Sabah. Sekarang adalah masa untuk memastikan dana daripada Belanjawan Sabah 2024 yang berjumlah RM5.701 bilion sampai terus kepada rakyat.

"Belanjawan yang bertemakan 'Sabah Teguh, Rakyat Terbela' seharusnya dapat dinikmati oleh rakyat demi membela kesejahteraan dan kebajikan hidup mereka.

"Sabah masih lagi dibelenggu dengan isu kemudahan asas yang belum berkesudahan. Apa yang penting, belanjawan yang diumumkan mesti diusahakan untuk menyelesaikan isu ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, selepas lebih 60 tahun merdeka pun kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik masih lagi menjadi perbahasan setiap masa dalam kalangan rakyat yang mengharapkan penyelesaian yang tuntas daripada kerajaan.

"Isu jalan raya juga acap kali dibangkitkan dan berlarutan sejak sekian lama. 'Jalan raya berlubang seperti kolam' menjadi rungutan rakyat sekali gus membahayakan keselamatan mesti diselesaikan dengan kadar segera.

"Selain itu, rakyat juga dihimpit dengan isu kenaikan harga barang dan keperluan. Isu ini juga perlu mendapat perhatian dan pemantauan yang efektif dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Saban hari rakyat semakin tersepit dengan kenaikan harga barangan seperti ikan, tepung, gula, minyak masak, susu dan sayuran," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai kerajaan yang prihatin dan mengutamakan rakyat, ini adalah masanya untuk membela nasib rakyat dengan memberikan penyelesaian yang diperlukan.

"Sekali lagi saya mengulangi bahawa ini bukan masanya untuk DUN Sabah dibubarkan. Ini adalah masa untuk terus bekerja demi kesejahteraan rakyat," katanya.