'Klang seperti Colombia, penduduk dihimpit kebimbangan'

Daerah Klang menjadi destinasi pertama lawatan kerja Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada tahun ini. - Gambar hiasa FB: Klang Bandar DiRaja. Gambar kecil: Muhamad Aiman Syahmi Shamsul, Mohd Norhafizi Ab Hamid, Mohd Norhafizi Ab Hamid, Ganabatirau
Daerah Klang menjadi destinasi pertama lawatan kerja Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada tahun ini. - Gambar hiasa FB: Klang Bandar DiRaja. Gambar kecil: Muhamad Aiman Syahmi Shamsul, Mohd Norhafizi Ab Hamid, Mohd Norhafizi Ab Hamid, Ganabatirau
A
A
A

KLANG - Penduduk di sekitar daerah ini kini dihimpit kebimbangan dengan kejadian jenayah selepas Klang diibaratkan sebagai sebuah daerah seperti Colombia.

Situasi tersebut menyebabkan ada penduduk yang takut untuk meninggalkan rumah bagi melakukan aktiviti harian termasuk untuk keluar bekerja.

Seorang penduduk dari Rantau Panjang di sini, Mohd Norhafizi Ab Hamid, 34, berkata, jenayah paling ditakuti adalah menjadi mangsa kejadian pecah rumah.

“Sebelum ini dengar ada kejadian menimpa penduduk yang sama berulang kali dan sudah pasti risau kerana tidak tahu siapa lagi akan menjadi mangsa.

"Ada juga yang takut untuk keluar bekerja kerana takut rumah mereka diceroboh oleh penjenayah atau penagih dadah," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Aiman Syahmi Shamsul, 24, berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam mengatasi masalah jenayah.

"Jenayah terus berulang apabila kurang penguatkuasaan dan saya sendiri sudah berpindah ke Teluk Panglima Garang kerana di sana lebih selamat," katanya yang bekerja di Pelabuhan Klang.

Pada Isnin, Daerah Klang menjadi destinasi pertama lawatan kerja Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain seperti dilaporkan media berkata, kadar jenayah meningkat di seluruh negara termasuk juga daerah Klang.

“Saya pilih Klang sebagai lawatan pertama saya tahun ini sebab indeks atau jenayah seluruh negara semakin meningkat.

“Bukan Klang sahaja (jenayah meningkat) tapi apabila dikatakan Klang sebuah daerah seperti Colombia, ia menyedihkan saya,” katanya pada Sesi Towh Hall Kesejahteraan Komuniti Kemakmuran Bersama di Persatuan Hokkien Klang.

Sementara itu Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau memuji pihak polis kerana mengadakan satu sesi town hall tersebut dalam usaha pihak berkuasa itu mengetahui bagaimana perasaan masyarakat.

"Mereka (masyarakat) dapat menzahirkan keinginan dan ketakutan mereka maka saya lihat ini adalah satu peluang kepada mereka meluahkan perasaan kepada pihak polis.

"Saya percaya pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah juga akan ambil maklum (aduan) dan mereka akan ubah pendirian mereka agar tidak terlalu defensif," katanya.

Ujarnya, pihak polis perlu melihat bagaimana untuk bertindak apabila ada pihak memaklumkan ada segelintir anggota mereka 'tidak terlalu mesra' ketika pengadu atau mangsa hendak membuat laporan polis.

"Hal ini jika tidak ditangani akan memberikan jurang kepada rakyat dan usaha untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat sudah pasti tidak tercapai," ujarnya lagi.

Bagaimanapun beliau mengakui kekangan dihadapi PDRM dari segi jumlah anggota yang agak terhad dalam mengawasi sebuah daerah yang mempunyai kapasiti penduduk yang padat seperti Klang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!