Dua gajah liar resahkan penduduk Orang Asli Kampung Remau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Kemunculan dua gajah liar yang dipercayai merosakkan tanaman di Kampung Remau, Pos Bihai, meresahkan kira-kira 150 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di penempatan itu.

Penduduk mendakwa setelah mengganggu tanaman di Kampung Suma dan Kampung Bujuk, haiwan liar itu mula menceroboh kawasan kebun di Kampung Remau sejak Isnin lepas.

Hassan Ahcoi, 57, berkat, dua gajah itu muncul semula pada petang Selasa dan dikatakan berkeliaran berhampiran kawasan kampung.

"Kejadian Selasa lepas merupakan kali kedua tanaman kami dimakan gajah dan penduduk sempat merakam gajah liar yang memakan tanaman mereka.

"Sebelum ini kami sudah maklum kejadian yang pernah berlaku di beberapa kampung di Pos Bihai, tetapi tidak menyangka ia akan sampai ke kampung ini juga," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Hassan berkata penduduk khuatir haiwan terbabit akan terus muncul dan bertindak agresif sekali gus mengancam keselamatan mereka.

"Kita risau gajah ini bertindak merosakkan rumah penduduk seperti yang telah berlaku di Kampung Bujuk dan Kampung Suma.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah ancaman haiwan liar di Pos Bihai ini bagi mengelak penduduk hilang sumber makanan dan tempat tinggal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya kenderaan pacuan empat roda yang membawa pasukan Perhilitan ditugaskan untuk ke lokasi kejadian terkandas sebelum tiba ke kampung berkenaan berikutan jalan licin. - Bernama