Pembangunan pesat Wilayah Persekutuan seiring sosioekonomi penduduk

Dr Zaliha (lima dari kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (tiga dari kiri) bersama orang ramai menyertai program Berjalan Sihat@Putrajaya sejauh 2.5 kilometer sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Khamis. Foto Bernama
Dr Zaliha (lima dari kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (tiga dari kiri) bersama orang ramai menyertai program Berjalan Sihat@Putrajaya sejauh 2.5 kilometer sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memastikan pembangunan sosial dan ekonomi penduduk Wilayah Persekutuan sentiasa seiring dengan pembangunan pesat di wilayah berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi berkaitan juga sentiasa mengambil kira impak pembangunan terhadap kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat apabila melaksanakan projek atau program.

"Dalam konteks ini, elemen penting diambil kira dalam setiap aspek pembangunan Wilayah Persekutuan merangkumi keselamatan, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan, persekitaran hijau, komuniti inklusif, perancangan dan pengurusan tanah yang mampan serta pengukuhan tadbir urus bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya (POD) 2024 di sini pada Khamis.

Dr Zaliha berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, penduduk yang menetap di Kuala Lumpur adalah dianggarkan sebanyak 1.9 juta orang, Putrajaya (109,202 orang), diikuti Labuan (95,120 orang).

Terdahulu, Dr Zaliha menyertai program 'Solat Subuh Macam Jumaat' di Masjid Putra dan aktiviti Berjalan Sihat sejauh 2.5 kilometer dari Dataran Putra menuju ke Dataran Putrajaya, yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini turut meraikan ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan ke-50, sejak penubuhannya pada 1 Februaru 1974 apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pertama.

Sempena meraikan 50 Tahun Wilayah Persekutuan, JWP dan agensi telah menyusun sebanyak 61 program dan aktiviti menarik sepanjang tahun untuk dilaksanakan di ibu negara, Putrajaya dan Labuan.

Artikel Berkaitan:

Bermula hari ini juga, pengunjung POD 2024 boleh mencuba sendiri perkhidmatan pengangkutan terbaharu di Putrajaya iaitu Transit Aliran Automatik (ART) yang disediakan secara percuma oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) sehingga 4 Feb.

Info berkenaan Hari Wilayah Persekutuan dan POD 2024 boleh diperoleh menerusi https://www.facebook.com/JWPJPM dan https://www.facebook.com/putrajaya. - Bernama