Jual air zamzam: Kerajaan patut lantik badan pengurus

Laporan Sinar Harian berhubung larangan menjual air zamzam di negara ini.
Laporan Sinar Harian berhubung larangan menjual air zamzam di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak sepatutnya 'pukul rata' dalam isu pengharaman jualan air zamzam sebaliknya sekadar menghadkan pengedarannya untuk operator terpilih.

Pengarah Urusan Zahafiz Travel & Tours, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof berkata, kerajaan Arab Saudi sendiri menjual air zamzam yang diuruskan oleh sebuah syarikat kepada syarikat pengelola haji dan umrah yang membawa jemaah ke Tanah Haram.

Menurutnya, pengharaman jualan air zamzam bukan jalan penyelesaian sedangkan kerajaan boleh bertindak melantik badan-badan tertentu untuk menguruskan perkara tersebut jika mahu memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

"Kenapa di sana boleh jual di sini tak boleh jual? Sedangkan di Arab Saudi pun kita kena beli. Ia bukan benda yang haram.

"Kita bukan dapat percuma. Tapi kita beli berdasarkan pasport. Pihak syarikat penerbangan juga menetapkan had seorang jemaah tak boleh lebih. Dulu ya kita dapat percuma, kita tadah dengan tong sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Zainal Abidin berkata, kerajaan perlu melantik pihak tertentu atau hanya membenarkan operator berlesen untuk menjual air zamzam.

"Yang dapat bawa balik air zamzam bukan mereka seludup mereka beli dari sana. Pihak negara sana yang luluskan.

"Kerajaan kena cari siapa yang ambil kesempatan untuk diambil tindakan. Pastikan yang boleh jual ini pihak yang ada lesen urusan haji dan umrah. Pihak yang menguruskan operasi haji umrah tak tergamak nak tipu bab-bab ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Urusan Fadlim Travel & Tours Sdn Bhd, Abdul Halim Salleh berkata, tidak timbul isu jualan air zamzam kerana urusan membawa pulang air zamzam agak terhad.

Katanya, selaku pihak yang menguruskan jemaah haji dan umrah melihat kebanyakan bekalan air zamzam yang dibawa pulang adalah untuk kegunaan sendiri.

"Mungkin sebab ada pihak yang ambil kesempatan menipu dan sebagainya membuatkan peraturan dikuatkuasakan.

"Tidak tahu bagaimana mereka boleh dapat bekalan dengan banyak. Jadi wajar untuk kerajaan ambil tindakan tersebut," katanya.

Beliau berkata, agak menghairankan bagaimana penjualan air zamzam boleh berleluasa sedangkan setiap jemaah hanya dibenarkan membawa pulang satu botol yang telah dibungkus khas.

"Setiap satu akan diperiksa mengikut pasport. Jika ada lebih pun mungkin setakat sebotol dua untuk mutawif atau pengurus jemaah," katanya.

Terdahulu, dilaporkan penjualan air zamzam adalah dilarang dan tidak dibenarkan di negara ini.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan individu yang melakukan kesalahan itu boleh berdepan tindakan undang-undang.

Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedarkan dan menjual air zamzam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjual air zam-zam boleh didenda, dipenjara