ADUN Kota Kemuning tidak setuju kenyataan pengarah JSJ

Preakas
Preakas
A
A
A

KLANG - Setiap rancangan pembangunan bandar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan disertakan dengan laporan perunding komprehensif yang merangkumi semua aspek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, pengesahan bagi pelan pembangunan itu juga bergantung kepada keperluan semua penduduk.

Menurutnya, sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memberikan pandangan tambahan mengenai keperluan keselamatan maka langkah itu harus disambut baik oleh PBT.

Preakas juga percaya tiada salahnya sekiranya PBT mempertimbangkan input daripada PDRM kerana ia boleh memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan masyarakat.

"Pada masa sama, saya dengan segala hormatnya tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Shuhaily (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain) bahawa ahli Parlimen dan ADUN gagal menangani pembangunan sesuatu tempat.

"Adalah penting bagi beliau untuk memastikan fakta beliau adalah tepat dan kenyataan YB Gana (Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau) berhubung ketidakterlibatan ahli politik dalam proses perancangan bandar adalah betul," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Pada Isnin, sesi dialog awam bersama Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Klang bertukar panas dengan perdebatan berkaitan isu birokrasi dalam perancangan bandar.

Situasi panas apabila Ganabatirau bangkit mempertikai kenyataan Mohd Shuhaily yang dilihat seperti menuding jari terhadap ahli politik dan PBT sebagai gagal melaksanakan perancangan bandar yang mengambil kira keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

Artikel Berkaitan:

Komen itu disuarakan Shuhaily selepas salah seorang penduduk membangkitkan isu bagaimana dia tidak berasa selamat di rumahnya sendiri selepas pencuri masuk lapan kali dalam dua dekad lalu, bukti perancangan bandar lemah.

Shuhaily ketika menjawab soalan itu, memberi analogi bagaimana pembangunan kondominium di kawasan tertentu akan menjejaskan aspek kepolisan, terutamanya dari segi trafik dan nisbah antara anggota polis dan penduduk dalam komuniti tertentu.

Dalam pada itu, Preakas berkata, wakil rakyat berpegang teguh pada prinsip pengasingan kuasa, di mana mereka mengelak daripada terlibat dalam sebarang keputusan eksekutif.

Bagaimanapun menurutnya, setiap keputusan yang dibuat adalah penuh ketekunan dengan mengutamakan tanggungjawab agensi untuk menjaga kepentingan rakyat.

"Tambahan pula, pelantikan Datuk Bandar dilaksanakan oleh jawatankuasa yang bebas daripada sebarang pengaruh atau perundingan dengan ADUN atau ahli Parlimen.

"Saya amat percaya bahawa memupuk perbincangan yang membina, bukannya menyalahkan, sentiasa bermanfaat dan kuncinya terletak pada mencari penyelesaian kepada masalah, bukannya menuding jari kepada orang lain," katanya.

Malah tambahnya, kedua-dua pihak iaitu PDRM dan PBT berdedikasi untuk berusaha dalam memajukan negara serta adalah mustahak untuk saling bekerjasama dan bukannya saling menyalahkan.