Isu kos sara hidup meningkat akan dibincangkan dengan Thailand - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan kos sara hidup yang meningkat di Malaysia dan Thailand adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin esok.

Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik itu dijadual tiba pagi esok untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertemuan itu juga turut akan membincangkan mengenai langkah-langkah untuk membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat di kedua-dua negara.

"Kita (kerajaan Malaysia) akan berikhtiar sedaya upaya untuk mengurangkan beban kepada rakyat yang miskin... termasuk golongan M40 yang terkesan dengan senario ekonomi yang ada sekarang, yang juga berlaku di seluruh dunia.

"Begitu juga dengan perbincangan-perbincangan kita dengan pimpinan seluruh dunia, esok atau lusa (mengadakan pertemuan) dengan Perdana Menteri Thailand," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang antaranya ingin tahu pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kuasa beli rakyat susulan penyusutan nilai ringgit selain langkah kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat bagi membantu golongan B40 dan M40 berikutan kenaikan harga barang.

Anwar berkata, beberapa langkah yang diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat turut akan diumum menerusi Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini.

Mengenai implikasi perbelanjaan subsidi bahan makanan daripada kerajaan, Perdana Menteri berkata, ia mencecah RM81 bilion setakat ini melepasi jangkaan asal iaitu RM67 bilion.

"Sebahagian kecil adalah sebab soal nilai atau kos import yang meningkat terutamanya makanan. Jadi ini menyebabkan harus ada beberapa dasar baharu untuk menanganinya," kata Anwar. - Bernama

Artikel Berkaitan: