Majlis Bandaraya Klang sedia depani isu perbandaran

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan (depan, dua dari kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf pejalan kaki dan pencahayaan sekitar bandar Klang.
Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan (depan, dua dari kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf pejalan kaki dan pencahayaan sekitar bandar Klang.
A
A
A

KLANG - Majlis Bandaraya Klang bersedia mendepani isu-isu perbandaran dan menyediakan perkhidmatan cemerlang, kemudahan infrastruktur serta utiliti awam terbaik selaras penarafan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebagai bandar raya ke-20 di seluruh negara.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, selain itu, PBT itu juga berkeupayaan membentuk jenama bandar raya unik dan berimej bandar warisan serta sejarah menjelang 2030.

Menurut beliau, penarafan itu juga membuktikan Majlis Bandaraya Klang mempunyai kekuatan kewangan mampan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran efisien, berkualiti serta bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat.

"Majlis Bandaraya Klang sebenarnya telah melakukan persediaan untuk dinaik taraf bermula sejak 2006 kerana telah lama memenuhi kriteria (bandar raya) yang mana pendapatan melebihi RM300 juta sejak beberapa tahun lalu.

"Dari segi jumlah penduduk Klang yang berbanci setakat ini adalah lebih 902,000 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norfiza memberitahu, proses perbandaran pesat memerlukan anjakan paradigma dalam pengurusan bandar dan PBT itu mempunyai elemen tersebut.

Menyentuh mengenai isu kebersihan yang dibangkitkan pihak tertentu, Norfiza berkata, perkara itu dipandang serius dan mengambil beberapa langkah bagi menanganinya.

"Kami telah meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani pihak tidak bertanggungjawab dalam soal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada itu, kutipan sampah di kampung telah dilaksanakan secara pintu ke pintu atau lot ke lot dan proses kutipan itu akan dilakukan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di semua lokasi terlibat," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, penduduk juga diminta bekerjasama menyediakan tong sampah dan meletakkannya di hadapan rumah atau premis masing-masing bagi memudahkan KDEBWM membuat kutipan sampah di premis mengikut jadual ditetapkan.

"Lebih membanggakan, kesedaran dalam kalangan warga Klang semakin meningkat berkaitan kebersihan antaranya seperti di Taman Sentosa, Rantau Panjang, Kampung Delek dan ia melibatkan kerjasama positif daripada warga Klang," tambahnya.