Tak mengaku jual diesel bersubsidi lebih had kepada bas Singapura

Soraya (kanan) ketika hadir prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Soraya (kanan) ketika hadir prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menjual diesel dengan jumlah keseluruhan 500 liter bernilai RM1,175 kepada bas bernombor pendaftaran Singapura, pada tahun lalu.

Orang kena saman (OKS), Soraya Md. Tamyes, 38, mengaku tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, wanita itu didapati telah melanggar Larangan dan Kawalan Penjualan Petrol dan Diesel Oleh Pemegang Lesen Runcit Bagi Pengusaha Stesen Minyak iaitu menjual diesel tidak lebih daripada 20 liter dengan sekali transaksi sahaja dalam sehari.

OKS telah menjual diesel sebanyak 250 liter kepada bas dengan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Kempas Baru pada jam 11.04 pagi, 19 Mei tahun lalu.

Bagi kertas pertuduhan kedua, wanita itu turut melakukan kesalahan yang sama terhadap kenderaan yang sama dan di lokasi yang sama pada jam 10.34 pagi pada 30 Mei tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 [PU (A)103/1974] yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pemilik tunggal stesen minyak itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri manakala OKS tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 28 Februari depan sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.