18 'hotspot' banjir kilat di Bandaraya Johor Bahru selesai

Noorazam mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru pada Selasa.
Noorazam mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berjaya menyelesaikan lebih 18 daripada 35 lokasi 'hotspot' banjir kilat di sekitar daerah ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, pelbagai usaha dilakukan antaranya terus menggerakkan Skuad Kilat MBJB memantau lokasi berkenaan.

"Selain itu bagi kawasan Sungai Skudai, dua pam air telah dipasang bagi mengurangkan masalah banjir kilat.

"Kalau lihat sejak kebelakangan ini, beberapa lokasi yang dahulunya kerap berlaku banjir kilat, apabila hujan lebih dua jam, kini sudah tidak terjejas dengan banjir kilat.

"Skuad Kilat MBJB kita terus gerakkan memantau kawasan ini termasuk mengorek longkang yang dikenal pasti tersumbat bagi pengaliran air segera," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bagi kawasan Kampung Mohd Amin, MBJB menurunkan paras kolam tadahan di Taman Tasek Merdeka bagi menampung air sekiranya hujan lebat.

Sementara itu, Noorazam memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan berat yang melanggar peraturan Jalan Protokol yang telah diwartakan.

Katanya, terdapat 26 Jalan Protokol yang telah diwartakan untuk menghadkan atau sekatan penggunaan kenderaan bagi memastikan jalan terbabit dalam keadaan baik dari segi infrastruktur, kebersihan dan keceriaan.

Artikel Berkaitan:

"Namun berdasarkan pemerhatian dan aduan orang awam, MBJB mendapati banyak berlaku kerosakan dan kekotoran di Jalan Protokol termasuk jalan di sekitar pusat bandar," katanya.

Jelasnya, ini berpunca daripada kenderaan berat seperti muatan membawa pasir, simen dan tapak binaan.

"MBJB mengambil maklum projek pembangunan di kawasan ini dan menyeru pihak berkenaan sentiasa mematuhi peraturan termasuk menjaga kebersihan, mematuhi tempoh waktu penggunaan jalan protokol yang ditetapkan.

"MBJB tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Seksyen 47 (1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133)," tegasnya.

Antara jalan protokol ialah Jalan Persiaran Iskandar Sultan; Persiaran Abu Bakar Sultan; Jalan Ismail Sultan; Jalan Ibrahim Sultan; Jalan Skudai; Jalan Tun Razak; Jalan Wong Ah Fook; Jalan Datin Halimah dan Jalan Kolam Ayer.

Turut terbabit ialah Jalan Sungai Chat; Jalan Tebrau; Jalan Pandan; Jalan Kota Tinggi; Lebuh Raya raya Pasir Gudang; Jalan Trus; Jalan Lingkaran Dalam; Jalan Pasir Pelangi; Jalan Stulang Laut dan Jalan Stulang Darat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!