Tanah runtuh, jalan rosak dan parit pecah akibat banjir

Muhammad Fadhil membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi.
Muhammad Fadhil membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Banjir kilat yang melanda sejak Khamis di daerah ini mengakibatkan tanah runtuh, jalan rosak, parit tersumbat dan pecah di beberapa kampung dalam kawasan Penawar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, infrastruktur yang terjejas itu melibatkan Felda Air Tawar 1, Felda Sungai Mas dan Kampung Baru Sungai Mas.

Menurutnya, jumlah kerugian masih belum ditaksirkan namun akan melakukannya secepat mungkin untuk dibawa kepada kerajaan negeri memohon peruntukan menyegerakan kerja-kerja baik pulih.

"Banjir kilat ini disifatkan paling teruk malah telah melibatkan sebahagian perumahan Felda yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir malah 40 keluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air hampir 1 meter.

"Di perkampungan terbabit terdapat sungai di sekelilingnya dan kerja naik taraf infrastruktur, sungai mahukan longkang perlulah dilakukan kadar segera bagi membendung masalah banjir," katanya.

Fauziah melawat dna melihat keadaan rumah mangsa banjir di Felda Air Tawar, Kota Tinggi pada Sabtu.
Fauziah melawat dna melihat keadaan rumah mangsa banjir di Felda Air Tawar, Kota Tinggi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir kilat di Felda Air Tawar di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mangsa banjir di Felda Air Tawar 1, Halidah Sungip, 39, mendakwa, keluarganya kerugian RM5,000 selepas bahan masakan untuk majlis kahwin anak perempuannya musnah akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, keluarganya tidak sempat menyelamatkan bahan-bahan masakan tersebut kerana air naik begitu cepat.

"Banjir berlaku kali ini amat teruk dan secara tiba-tiba selain air naik secara mendadak tidak sampai 10 minit selepas dilanda air pusar yang seperti kepala air.

"Sebahagian bahan-bahan masakan tersebut habis tenggelam dalam banjir. Walaupun merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan anak tunggal saya pada Februari ini tetapi separuh daripada bahan-bahan untuk memasak sudah dibeli sebagai persediaan awal," katanya.

Katanya, air naik dalam rumah lebih setengah meter dan mujur barang-barang cenderahati untuk tetamu yang telah siap tidak terjejas kerana berada di tempat tinggi.

Seorang lagi mangsa banjir, Azmi Mohd Daud, 58, terpaksa mengikat keretanya dengan tali selepas tidak sempat mengalihkan ke tempat yang selamat.

"Hujan memang lebat namun kami tidak jangka akan berlaku banjir berdasarkan kiraan saya air di Sungai Johor dalam keadaan surut dan berlaku banjir bila air pasang besar dan hujan lebat, sebaliknya kelmarin memang luar biasa.

"Tiba-tiba sahaja dalam lima minit saya masuk dalam kereta dan saya sudah tidak boleh keluar kerana air banjir sudah berada pada paras pintu menyebabkan saya terpaksa ikat kereta agar tidak dibawa arus banjir," ujar pesara guru tersebut.