Polis siasat penipuan kripto libat kerugian lebih RM40 juta

Polis buka sebanyak 49 kertas siasatan berhubung kes penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali Accerx libat kerugian lebih RM40.7 juta. Gambar kecil: Ramli
Polis buka sebanyak 49 kertas siasatan berhubung kes penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali Accerx libat kerugian lebih RM40.7 juta. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia membuka sebanyak 49 kertas siasatan berhubung kes penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali Accerx melibatkan kerugian lebih RM40.7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 45 daripada 49 kertas siasatan dilaporkan dalam tempoh sembilan hari.

"Ia termasuk kerugian terbesar yang dialami oleh seorang wanita berusia 80 tahun kerugian RM10.4 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan itu di Perak, pada Jumaat lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan mangsa warga emas itu disyaki mula menyertai skim pelaburan terbabit setelah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang mempromosikan skim berasaskan mata wang kripto.

Ramli dilaporkan berkata, melalui kumpulan itu, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto.

Mangsa kemudian diminta membuat bayaran balik setelah pembelian kripto berjaya.

Terpedaya dengan helah digunakan, mangsa telah membuat 13 transaksi ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat berjumlah RM10.4 juta.

Katanya, mangsa mula sangsi dengan kesahihan pelaburan itu apabila diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, JSJK turut menerima laporan pada 18 Januari membabitkan kerugian RM1.2 juta daripada seorang pesara berusia 74 tahun yang terlibat dalam pelaburan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.