Bekas ahli perniagaan rugi RM600,000 angkara pelaburan kripto palsu

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas ahli perniagaan kerugian RM600,000 selepas membuat pelaburan mata wang digital kripto dengan sebuah syarikat yang tidak wujud pada Mei lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Phang, 68, berkata, pelaburan tersebut semuanya dibuat dalam dollar Amerika Syarikat pada Julai lalu.

Dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan mengimport mesin kimpalan sebelum dihantar ke kilang-kilang berkata, semuanya bermula apabila pelaburan saham yang disertainya tidak menunjukkan peningkatan.

"Saya mendapat tahu mengenai pelaburan mata wang digital ini selepas mengenali seorang individu bernama Cikgu Pelaburan dalam Facebook.

"Saya bertanya pandangan sama ada mahu teruskan atau menjual saham itu, Cikgu Pelaburan itu kemudian memperkenalkan pelaburan wang digital Kripto ini.

"Selepas bersetuju saya kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan whatsapp pelaburan tersebut yang turut disertai kononnya ahli Parlimen dari Melaka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di Johor Jaya di sini pada Selasa.

Bapa kepada tiga anak itu bertambah yakin dengan pelaburan mata wang digital itu selepas ahli-ahli dalam kumpulan WhatsApp tersebut menunjukkan penyata dan dokumen keuntungan masing-masing.

Terpengaruh dengan keadaan tersebut, dia membuat pelaburan menerusi 20 transaksi ke dalam 12 akaun bank berbeza melibatkan modal hampir RM600,000 dalam tempoh tiga bulan sejak 14 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh tiga bulan itu saya telah beberapa kali mendapat keuntungan dan dalam tempoh masa sama ada mengalami kerugian, sehingga terpaksa meminjam wang isteri dan keluarga bagi meneruskan pelaburan itu," katanya.

Jelas Phang, pada 3 Oktober lalu, pelaburannya melonjak sehingga memperoleh keuntungan AS$1.4 juta dan berhasrat mengeluarkan wang terbabit kerana mahu membayar hutang dan membaik pulih rumah, tetapi bagaimanapun pihak syarikat tidak membenarkannya.

"Pada 4 Oktober pula, saya dapat satu surat dari syarikat ini yang menyatakan terdapat unsur mencuci wang dalam akaun rakyat Malaysia (termasuk saya). Jika hendak membuat pengeluaran perlu memasukkan secara transaksi atas talian sejumlah RM200,000 wang ke akaun yang ditetapkan.

"Saya terus tersedar bahawa saya sebenarnya telah ditipu, saya beritahu Cikgu Pelaburan itu agar boleh memulangkan duit modal pelaburan saya sebanyak RM600,000. Tetapi mereka terus memberi pelbagai alasan. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Larkin Sabtu lalu," ujarnya.

Warga emas itu yang sudah bersara amat kesal dengan sikap tamaknya dan kini perlu bekerja lagi untuk menyara keluarga selain membayar hutang adik-beradiknya dan isteri.

Sementara itu, Cai Tung berkata, hasil semakan pihaknya terhadap 12 akaun bank yang digunakan mangsa untuk transaksi wang, mendapati 11 daripadanya pernah dilaporkan dalam carian akaun keldai.

"Pusat khidmat kami antara yang aktif menerima kes penipuan dan pelaburan tidak wujud, jadi saya telah meletakkan 100 keping poster kesedaran di kawasan awam agar masyarakat lebih peka dan berhati-hati dalam pengurusan harian mereka," katanya.