Juru perunding rugi RM1.65 juta terpedaya pelaburan kripto

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
A
A
A

IPOH - Seorang juru perunding lelaki kerugian kira-kira RM1.65 juta selepas ditipu sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud sejak September tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 37 tahun membuat laporan polis pada Khamis selepas menyedari dirinya ditipu.

"Sindiket terbabit memperdaya mangsa menerusi Facebook dan aplikasi Telegram untuk membuat pelaburan yang tidak wujud

"Siasatan mendapati mangsa diperkenalkan oleh rakan yang dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto menerusi platform 'unobitex'," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, mangsa membuat 44 transaksi ke akaun bank berbeza dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1,651,585 sejak 12 September 2023.

"Mangsa menyedari ditipu apabila suspek meminta untuk membuat bayaran cukai negara Arab Saudi untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Tambah Mohd Yusri, orang awam boleh menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dan baru membuat transaksi ke akaun keldai.

Artikel Berkaitan: