Pengarah syarikat rugi RM7 juta ditipu sindiket pelaburan mata wang kripto

Ramli. - Foto Sinar Harian/Rosli
Ramli. - Foto Sinar Harian/Rosli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat kerugian RM7 juta akibat menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto pada Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yusoof berkata, mangsa berusia 52 tahun itu menyertai kelas dalam talian berkaitan pasaran stok pada Jun lalu.

"Pengadu kemudian dinasihatkan untuk menceburi pelaburan mata wang kripto menggunakan platform ‘Yoamex’ dan membuka akaun pada Julai lalu dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM7.1 juta.

"Melalui laman sesawang pelaburan itu, pengadu dapat melihat akaunnya menjana keuntungan sehingga 13.7 juta Dolar Amerika Syarikat (AS) atau RM65.58 juta,” katanya pada sidang akhbar, di sini, pada Khamis.

Ramli berkata, pengadu memaklumkan dia tidak dapat membuat pengeluaran pelaburan itu kerana didakwa terdapat siasatan sedang dijalankan di bawah pengubahan wang haram.

“Selain itu, mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan sebanyak lima peratus daripada jumlah keuntungan pelaburan iaitu AS$683,893 atau RM3.2 juta,” katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya menerima satu lagi kes penipuan pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian RM2.75 juta melibatkan seorang pesara tentera berusia 75 tahun.

"Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan mata wang kripto yang dilihatnya di Facebook pada Mei lalu, kemudian seorang individu menghubunginya selepas mangsa menekan pautan iklan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, individu itu memperkenalkan diri sebagai penasihat pelaburan berkenaan, kemudian menawarkan pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa beberapa hari.

"Dalam kes itu, mangsa juga hanya dapat melihat keuntungan diraih secara dalam talian menerusi laman sesawang, namun tidak dapat membuat sebarang pengeluaran wang," katanya.

Ramli berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berusia 19 tahun yang mendakwa kerugian RM1.43 juta apabila menyertai pelaburan yang diiklankan menerusi Instagram pada Mei lalu.

"Pengadu juga tertarik dengan pakej pelaburan itu yang bernilai antara RM2,800 hingga RM6,738 setiap slot dengan keuntungan ditawarkan sehingga RM70,000 dalam tempoh tiga bulan.

"Mangsa kemudian membeli sebanyak 54 slot pelaburan tetapi tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga diminta membuat bayaran RM431,000 bagi mengupah pengawal keselamatan untuk mengiringi penghantaran wang tunai sebanyak RM60 juta kepadanya.

"Namun, selepas bayaran dibuat, wang tunai dijanjikan tidak diterima oleh mangsa,” katanya.

Ramli berkata, satu lagi kes menarik adalah membabitkan seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun yang kerugian RM1.17 juta dalam urusan pembelian alat pemancar FM.

"Mangsa berurusan dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat bagi urusan berkenaan, pihaknya diminta membuat pembayaran sebanyak RM1.17 juta ke dalam satu akaun bank diarahkan.

"Selepas pembayaran dibuat, pengadu menghubungi syarikat terbabit, namun dimaklumkan invois diterima oleh syarikat mangsa adalah palsu," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati alamat email yang berurusan dengan syarikat pengadu adalah berbeza dua huruf berbanding alamat sebenar syarikat terbabit.

"Kesemua laporan polis berkaitan empat kes berkenaan diterima pada minggu lalu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.