Wanita 80 tahun rugi RM10.4 juta terpedaya labur kripto

Seorang wanita warga emas kerugian RM10.4 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto. Gambar hiasan (Gambar kecil Ramli)
Seorang wanita warga emas kerugian RM10.4 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto. Gambar hiasan (Gambar kecil Ramli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas kerugian RM10.4 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan polis diterima pihaknya daripada mangsa berusia 80 tahun pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa memaklumkan mula menyertai skim pelaburan terbabit setelah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang mempromosikan skim berasaskan mata wang kripto.

"Melalui kumpulan itu, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto.

"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran balik setelah pembelian kripto berjaya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, terpedaya dengan helah yang digunakan, mangsa telah membuat 13 transaksi ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat berjumlah RM10.4 juta.

Katanya, mangsa mula sangsi dengan kesahihan pelaburan itu apabila diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Dalam kes berlainan, JSJK turut menerima laporan pada 18 Januari membabitkan kerugian RM1.2 juta daripada seorang pesara berusia 74 tahun yang terlibat dalam pelaburan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ramli, setakat ini JSJK sedang menyiasat 37 kes berkaitan pelaburan accerx melibatkan kerugian RM20.9 juta.

"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Katanya lagi, sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan menggunakan mata wang kripto adalah digalakkan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk pandangan dan nasihat.

"Setakat ini, hanya lima syarikat yang dibenarkan oleh pihak SC untuk melakukan urusan berkaitan mata wang kripto di Malaysia iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd, MX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd serta Tokenize Technology (M) Sdn Bhd," katanya.

Kata beliau, sebarang nasihat atau maklumat lanjut bolehlah hubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-2111222.