Ayob Khan kongsi pengalaman getir selamatkan peraih ikan diculik kumpulan militan Abu Sayaf

Ayob Khan (dua dari kiri) diiringi dua anggotanya bertemu peraih ikan berkenaan (dua dari kanan) di Jeti Sandakan, Sabah selepas berjaya diselamatkan. FOTO: Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan (dua dari kiri) diiringi dua anggotanya bertemu peraih ikan berkenaan (dua dari kanan) di Jeti Sandakan, Sabah selepas berjaya diselamatkan. FOTO: Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pulang peraih ikan dari Semporna, Sabah yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf Group (ASG) membuktikan bahawa kecekalan, empati kemanusiaan serta kerjasama berpasukan mampu mengatasi situasi yang kelihatan mustahil.

Pengalaman itu dikongsikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay semasa beliau bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman.

Menurutnya, pada 5 Oktober 2011 lelaki itu diculik kumpulan militan ASG ketika berada di Pondohan Lok Angki, Sitangkai, Tawi-Tawi, Selatan Filipina.

"Dalam sekelip mata, dia dibawa jauh merentasi perairan berbahaya sebelum akhirnya ditahan di wilayah Sulu, Kepulauan Jolo iaitu sebuah kawasan yang sinonim dengan aktiviti militan bersenjata dan penculikan rentas sempadan.

"Sepanjang ditahan, lelaki itu disembunyikan dari satu lokasi ke lokasi lain di bawah kawalan ketat ASG, bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Harapan keluarga di tanah air terus bergantung pada khabar yang amat terhad, sehinggalah awal September 2012, apabila maklumat risikan mengesahkan peraih ikan ini masih hidup dan ditahan di sebuah kem ASG di Bukit Kepang, Indanan Municipality," katanya pada Isnin.

Tambah Ayob Khan, di kem berkenaan, lelaki itu bukanlah satu-satunya tebusan, sebaliknya dikurung bersama beberapa warga asing lain dan dikawal oleh kira-kira 30 anggota militan bersenjata lengkap.

Katanya, usaha membawa pulang lelaki itu digerakkan secara sulit bermula Disember 2012 hingga Mac 2013.

"Jabatan Pasukan Petugas Khas (OPS/CT) @ E8 melalui rangkaian sumber telah mengadakan lebih 20 siri rundingan sulit dengan kumpulan penculik.

Artikel Berkaitan:

"Rundingan demi rundingan dijalankan dengan penuh kesabaran dan strategi. Pegawai Operasi kami yang terlibat dalam operasi khas ini ialah Reno, Jaybon dan Ariel," ujarnya.

Jelas beliau, selepas hampir satu setengah tahun diculik, lelaki itu akhirnya berjaya dibebaskan pada 5 Mac 2013, sekali gus menamatkan episod hitam yang bukan sahaja menguji ketahanan dirinya, tetapi juga kesabaran keluarga serta kecekalan pihak yang bertungkus lumus di sebalik tabir.

"Walaupun pada peringkat awalnya, kedua-dua operasi ini dianggap hampir mustahil untuk dilaksanakan berikutan risiko keselamatan, operasi sulit di luar negara serta kawalan ketat di perairan, namun kejayaan misi ini membuktikan bahawa tiada operasi yang terlalu sukar apabila dilaksanakan oleh pegawai yang berdedikasi, proaktif dan berani memikul amanah.

"Dedikasi dan keberanian pegawai-pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) @ E8 yang terlibat mencerminkan semangat sebenar pengabdian kepada tugas, di mana amanah melindungi nyawa rakyat dilaksanakan tanpa mengharapkan pengiktirafan, sebaliknya berteraskan tanggungjawab, keikhlasan dan pengorbanan demi kepentingan negara dan masyarakat," ujarnya.

Ringkasan AI

  • PDRM berjaya membebaskan Pang Choon Pong yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf
  • Choon Pong diculik pada 5 Oktober 2011 di Selatan Filipina dan ditahan di wilayah Sulu
  • Dia disembunyikan dan dipindah-pindah oleh kumpulan ASG untuk mengelak dikesan
  • Operasi sulit untuk membebaskannya dijalankan dari Disember 2012 hingga Mac 2013
  • Choon Pong berjaya dibebaskan pada 5 Mac 2013 setelah hampir satu setengah tahun diculik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!