‘Rasuah tidak akan berlaku bawah kepimpinan saya’- Pengerusi TEKUN

Norhayati (tiga dari kanan) menyerahkan kit kempen Rasuah Busters kepada Abdullah Sani (tiga dari kiri).
Norhayati (tiga dari kanan) menyerahkan kit kempen Rasuah Busters kepada Abdullah Sani (tiga dari kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku rasuah ketika menjalankan pentadbiran dan urus niaga di agensi tersebut.

Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ia sejajar dengan dasar pihaknya yang ingin meneruskan agenda melawan rasuah daripada peringkat akar umbi.

Menurutnya, kejayaan organisasi bergantung kepada tata kelola yang baik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“TEKUN akan meneruskan agenda untuk memerangi rasuah dalam menjalankan perniagaan.

“Di bawah kepimpinan saya, tidak akan sesekali berlaku jenayah ini. Jika terjadi juga saya akan ambil tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penutupan Forum Diskusi Penggayaan Usaha Niaga Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Affin Bank Berhad dan Perunding Industri menerusi Veteran Business Enrichment (VeBE) 2024, di Dewan Perdana, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat Mall, di sini pada Sabtu.

Forum tersebut turut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Mejar Jeneral Zambry Jefry Darus.

Sementara itu, Pengarah Veteran Talent Capital (VTE), Dr Yaakob Harun berkata, menerusi program keusahawanan tersebut, tentera veteran bukan sahaja dapat mengembangkan ilmu perniagaan, tetapi juga membentuk ketelusan dalam menjalankan operasi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mereka juga tidak terlepas daripada risiko perniagaan, namun integriti perlu menjadi dasar kepada setiap perusahaan supaya tiada unsur penipuan atau penyelewengan dana demi kepentingan diri sendiri.

“Peranan usahawan mahupun veteran untuk tidak bersekongkol dengan sebarang aktiviti salah guna kuasa memang kita akan halang habis-habisan daripada setiap peringkat.

“Kami veteran tentera memang dilatih dengan semangat patriotik dan amalan rasuah merupakan ancaman kepada negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, penganjuran program tersebut dapat membentuk usahawan yang mampu menjalankan perniagaan secara berintegriti tanpa dibayangi sifat tamak.

Norhayati (tiga dari kanan) bergambar bersama peserta dan penaja utama selepas majlis penutupan
Forum Diskusi Penggayaan Usaha Niaga Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Affin Bank Berhad dan Perunding Industri menerusi program Veteran Business Enrichment (VeBE) 2024 yang berlangsung di Dewan Perdana Pusat Transformasi Bandar (UTC),Keramat Mall pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Norhayati (tiga dari kanan) bergambar bersama peserta dan penaja utama selepas majlis penutupan Forum Diskusi Penggayaan Usaha Niaga Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Affin Bank Berhad dan Perunding Industri menerusi program Veteran Business Enrichment (VeBE) 2024 yang berlangsung di Dewan Perdana Pusat Transformasi Bandar (UTC),Keramat Mall pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Ulasnya, walaupun perniagaan mampu menjana keuntungan, namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan bukan menggunakan orang tengah bagi meraih kejayaan.

“Individu yang mengambil keuntungan di atas kesusahan orang lain bukan sahaja akan menjejaskan satu pihak, tetapi ia akan memberi implikasi buruk terhadap masyarakat secara menyeluruh.

“Kita memang boleh merasa hasil rasuah, tetapi generasi kita akan terima kesan daripada perbuatan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut peserta dan juga peniaga dalam program tersebut, Noorsiah Yusoff, 67, intipati forum tersebut adalah baik bagi menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan veteran.

“Program seperti ini memberi manfaat kepada peserta yang hadir dan input yang disampaikan oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan cukup baik,” ujarnya.