X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk Kampung Kuala Tahan bantah penjualan arak

Penduduk Kampung Kuala Tahan mengadakan bantahan aman terhadap penjualan arak, penyalahgunaan dadah dan judi internet selepas solat Jumaat di masjid kampung berkenaan, Jumaat lalu.
A
A

JERANTUT – Penduduk Kampung Kuala Tahan, di sini membantah penjualan arak secara terbuka di beberapa premis perniagaan diusahakan peniaga bukan Islam di kawasan itu.

Penjualan minuman keras secara terbuka dikhuatiri mengundang pelbagai gejala sosial dan kegiatan tidak bermoral terutamanya melibatkan golongan muda di kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan, Mohamad Baki Awang Ngah berkata, isu terbabit bukan sahaja meresahkan penduduk malah boleh mencemarkan imej kampung yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara Kuala Tahan.

"Bagi menyuarakan kebimbangan penduduk dalam isu ini, kami telah mengadakan satu bantahan secara aman di Masjid Kampung Kuala Tahan, Jumaat lepas.

“Kami membantah sekeras-kerasnya aktiviti penjualan arak secara terbuka di kawasan ini dan menggesa pihak berkuasa bertindak bagi memastikan pintu masuk Taman Negara Kuala Tahan bebas daripada segala gejala negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penduduk kampung sudah sekian lama resah dengan isu sosial yang berlaku di kawasan itu termasuk penyalahgunaan dadah dan judi internet.

"Kita tidak mahu minuman keras terutama yang bertin ini dijual sebagai 'soft drink' dan boleh dibeli sesiapa sahaja tanpa sekatan.

"Mungkin alasan peniaga, mereka menjual untuk pelancong bukan Islam tetapi tidak mustahil mereka juga turut menjual kepada sesiapa saja termasuk penduduk kampung terutama golongan muda demi keuntungan," katanya.

Mohamad Baki yang kesal ekoran penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam itu bagaimanapun memberitahu pihaknya turut difahamkan perkara tersebut sedang dalam perhatian pejabat agama dan majlis daerah.

"Malah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin sendiri pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas telah membangkitkan isu ini," katanya.

Beliau berkata, isu itu perlu ditangani segera dan mendesak agar tiada lagi lesen menjual minuman keras dikeluarkan kepada peniaga bukan Islam di situ.

"Tidak perlu pun arak dijual di sini kerana pelancong asing datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Negara Kuala Tahan bukan hendak minum arak, sebaliknya orang kita pula yang mahu mencuba kerana ia mudah didapati. Ini yang paling membimbangkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus