Pelajar ditikam: 'Anak saya bukan sasaran, kebetulan berada berhampiran suspek' - Bapa

Tangkap layar video tular mengenai insiden pelajar sekolah ditikam pada Isnin.
Tangkap layar video tular mengenai insiden pelajar sekolah ditikam pada Isnin.
A
A
A

KUALA LANGAT – Bapa kepada pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin percaya anaknya bukan sasaran dalam kejadian itu, sebaliknya kebetulan berada berhampiran suspek ketika insiden berlaku.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu mengenali suspek berusia 15 tahun kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama ketika Tingkatan Dua.

“Dimaklumkan suspek kini sedang ‘dicutikan’ kerana menjalani rawatan peribadi. Saya tidak pasti sama ada dia mempunyai dendam terhadap anak saya atau tidak.

“Saya rasa anak saya bukan sasaran, tetapi kebetulan berada berhampiran suspek ketika kejadian. Anak juga tidak pernah mengadu pernah diganggu suspek sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting di sini pada Isnin.

Mohd Firuz (tengah) ketika ditemui pemberita di pekarangan luar wad kecemasan Hospital Banting pada Isnin.
Mohd Firuz (tengah) ketika ditemui pemberita di pekarangan luar wad kecemasan Hospital Banting pada Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali.

Mohd Firuz berkata, kebanyakan tikaman mengenai bahagian belakang badan dan muka sehingga menyebabkan paru-paru kiri anaknya cedera.

“Paru-paru kiri turut terkena dan kini doktor memasukkan tiub untuk mengeluarkan darah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan kena tikam di sekolah

Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis

Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis - JPN

'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah

Usah buat spekulasi kes pelajar ditikam - Polis

Menurutnya, kejadian yang menimpa anaknya itu hanya diketahuinya selepas menerima panggilan daripada guru mangsa kira-kira jam 9.30 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, saya terus bergegas ke hospital. Apabila sampai, saya lihat keadaan anak memang teruk.

“Saya dimaklumkan terdapat antara 14 hingga 16 kesan tikaman di bahagian belakang badan dan muka,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur apabila anaknya kini berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

Mengulas mengenai tahap keselamatan di sekolah, Mohd Firuz meluahkan rasa kesal dan berharap pihak sekolah dapat memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Saya harap pihak sekolah mengambil langkah lebih tegas dalam aspek keselamatan supaya insiden seperti ini tidak berulang dan pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!