Pemain bola sepak maut disambar petir

ALOR GAJAH – Perlawanan persahabatan bola sepak bertukar tragedi apabila seorang pemain maut selepas dipercayai disambar petir di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu di sini pada petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa, R Thanesh, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
Selain mangsa, pengadil perlawanan dilaporkan cedera, manakala seorang lagi individu yang turut terlibat terselamat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.50 malam selepas mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang menyertai perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC yang bermula kira-kira jam 5.30 petang.

"Kira-kira 10 minit selepas sepak mula, hujan renyai-renyai sebelum kedengaran satu dentuman guruh.
"Rakan mangsa kemudian melihat si mati bersama dua individu lain rebah di atas padang," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah, namun terdapat kesan terbakar pada jari kaki kiri hingga ke paras paha.
"Mangsa turut mengalami kesan melecur pada bahagian bawah perut sebelah kiri selain kesan kehitaman pada bahagian belakang badan hingga ke paras punggung serta pendarahan pada telinga kanan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

