Nur Arissa terima bantuan sekali bayar kerajaan negeri

Nik Mohd Ridzuan (kanan) mendengar kisah adik Nur Arissa ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Cengal Lempung di sini.
Nik Mohd Ridzuan (kanan) mendengar kisah adik Nur Arissa ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Cengal Lempung di sini.
A
A
A

KUANTAN – Nasib murid darjah lima, Nur Arissa Mohd Sabri, 11, yang sedang bertarung dengan leukemia mendapat perhatian apabila Kerajaan Pahang meluluskan bantuan sekali bayar berjumlah RM5,000 kepada keluarga itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Parlimen Indera Mahkota, Nik Mohd Ridzuan Kamarudin berkata, permohonan bantuan itu dikemukakan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas melihat kesukaran dihadapi keluarga kanak-kanak berkenaan yang berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurutnya, selain menghulurkan sumbangan peribadi, bantuan khas itu diharap dapat mengurangkan beban logistik terutama bagi urusan perjalanan mendapatkan rawatan lanjut.

"Setakat ini memang kita sudah dapat kelulusan itu, cuma proses pembayaran akan mengambil sedikit masa, mungkin tiga bulan.

"Insya-Allah saya akan cuba mempercepatkan perkara itu supaya bantuan dapat diterima lebih awal dan boleh digunakan untuk kos berkenaan.

"Kita juga akan tengok dari semasa ke semasa.. kalau perlu, kita akan mohon sekali lagi penambahan bantuan dari segi keperluan adik Arissa, khususnya kos perubatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga di Kampung Cengal Lempung di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan serta pesakit kronik.

Dalam pada itu, Nik Mohd Ridzuan mengakui tersentuh dengan nasib Nur Arissa yang disifatkan sebagai murid cemerlang dan periang sebelum diuji dengan masalah kesihatan berkenaan.

"Sebagai seorang ayah, tipulah kalau kita tidak ada rasa sedih melihat keadaan adik Arissa dan dia bukan menghidap penyakit biasa, sebaliknya leukemia tahap yang agak tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Harapan kita hanya satu, iaitu dia kembali pulih sepenuhnya dan dapat bersekolah seperti biasa. Itu sahaja harapan kita," jelasnya.

Menyentuh kebimbangan keluarga mengenai kos rawatan, beliau menegaskan MTSP akan membantu dan mencari saluran bantuan kewangan bagi memastikan rawatan kanak-kanak itu berjalan lancar.

"Insya-Allah kita akan mencari jalan untuk membantu... Namun pada ketika ini, itu bukan isu utama kerana proses rawatan perlu dilalui seperti pesakit leukemia yang lain," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dugaan berat yang dilalui sebuah keluarga apabila Nur Arissa disahkan menghidap leukemia pada Mei lalu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!