Bekalan meningkat, buah naga dijual RM1 sebiji

KUANTAN – Ketika buah durian dan manggis menjadi tumpuan utama musim buah-buahan, buah naga tidak ketinggalan mencuri perhatian apabila dijual pada harga serendah RM1 sebiji di sebuah gerai di Jalan Peramu, berhadapan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini.
Peniaga, Muhammad Hakimi Mohd Murad, 27, berkata, harga rendah itu ditawarkan berikutan bekalan yang banyak ketika musim puncak buah-buahan pada pertengahan tahun.
Menurutnya, situasi berbeza berlaku ketika musim tengkujuh apabila bekalan berkurangan, sekali gus menyebabkan harga meningkat.
“Bila bekalan banyak seperti sekarang, kami boleh jual lebih murah. Contohnya buah naga gred C dijual RM1 sebiji, manakala gred lebih besar RM2 sebiji atau empat biji RM10.
“Buah naga berisi merah pula lebih mendapat permintaan berbanding isi putih,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini pada Isnin.

Muhammad Hakimi yang merupakan graduan kejuruteraan elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, bekalan buah naga diperoleh dari Sepang, Port Dickson dan Melaka sebelum diedarkan ke beberapa negeri termasuk Pahang.
Jelasnya, setiap penghantaran melibatkan kira-kira 5.5 tan buah naga yang lazimnya habis dijual dalam tempoh dua hari.
“Semua buah yang dijual segar dari kebun dan biasanya stok akan habis sebelum bekalan baharu tiba pada hari berikutnya.
“Kami tidak simpan stok lama. Jika ada baki, ia akan dijual lebih murah bagi memastikan pelanggan dapat buah segar pada harga mampu milik,” katanya yang sudah bergelar usahawan sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada pelanggan tempatan, sekali gus memberi pulangan memberangsangkan.
Katanya, promosi tidak rasmi melalui perkongsian pelanggan di platform digital seperti Threads dan TikTok turut membantu meningkatkan jualan.
“Pada hujung minggu atau cuti umum, jualan sangat rancak hingga gerai sesak dan kutipan harian boleh mencecah RM18,000.
“Namun pada hari biasa, jualan sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sehari,” katanya.
Sementara itu, pelanggan, Zulkifli Ngah, 32, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli buah berkenaan kerana harganya jauh lebih murah berbanding pasaran biasa.
“Di tempat lain lebih mahal sebab dijual mengikut timbangan, tetapi di sini lebih mampu milik. Saya beli 10 biji untuk keluarga dan rasanya manis,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Nur Khairunnisa Ishak, 36, berkata, dia sering berkunjung ke gerai berkenaan kerana harga yang berpatutan.
“Berbaloilah, semua orang boleh makan buah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

