Kes Genosid Israel: Malaysia sambut baik keputusan ICJ

S​​​​​ekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terbunuh sehingga ini dalam serangan Israel sejak 7 Oktober, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 64,487 lagi cedera.(Gambar hiasan) Foto AFP
S​​​​​ekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terbunuh sehingga ini dalam serangan Israel sejak 7 Oktober, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 64,487 lagi cedera.(Gambar hiasan) Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pendirian Malaysia supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, disokong berikutan keputusan penting ICJ pada Jumaat.

"Malaysia menantikan prosiding seterusnya yang akan meneliti dakwaan genosid yang dilakukan oleh Israel, dan akan terus menyokong permohonan Afrika Selatan di ICJ,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu.

Malaysia mengulangi gesaannya agar Palestin diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan bedaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza selaras dengan kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

Mahkamah juga mengarahkan Israel memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

ICJ juga memutuskan bahawa Israel mesti membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza bagi menangani kesan buruk pada kehidupan di Gaza.

Israel mesti menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan Perintah itu dalam tempoh sebulan.

Artikel Berkaitan:

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, s​​​​​ekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terbunuh sehingga ini dalam serangan Israel sejak 7 Oktober, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 64,487 lagi cedera.

Palestin sambut baik langkah bersyarat ICJ

Dalam pada itu, di RAMALLAH, Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki menyambut baik perintah sementara yang diputuskan oleh ICJ berhubung perang Israel di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami menggesa semua negara supaya memastikan semua langkah sementara yang diperintahkan oleh Mahkamah dilaksanakan, termasuk oleh tentera pendudukan Israel," menurut Al-Maliki sambil menekankan bahawa keputusan mahkamah dunia, yang dikeluarkan pada Jumaat itu merupakan "kewajipan undang-undang yang mengikat".

"Negara-negara kini mempunyai kewajipan undang-undang yang jelas untuk menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan memastikan mereka tidak terlibat,” karanya.

Al-Maliki juga berkata, keputusan mahkamah antarabangsa itu merupakan peringatan penting bahawa tidak ada negara yang mengatasi undang-undang.

"Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada Israel dan pelaku bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman."

Beliau juga menyampaikan ucapan "terima kasih rakyat Palestin kepada rakyat dan kerajaan Afrika Selatan kerana mengambil langkah berani dengan aktif bersolidariti," sambil menambah bahawa pihak berkuasa Palestin akan "terus bekerjasama rapat dengan Afrika Selatan dan negara-negara lain untuk memastikan keadilan ditegakkan."

Dalam keputusan sementara kes pembunuhan beramai-ramai yang difailkan oleh Afrika Selatan di The Hague, ICJ pada Jumaat memerintahkan Israel supaya mengambil "semua langkah dalam kuasanya" untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak membuat keputusan untuk mengarahkan gencatan senjata.

Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Afrika Selatan terima baik perintah mahkamah dunia ke atas kes Genosid Israel

Di JOHANNESBURG, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan pegawai kanan kerajaan pada Jumaat turut menerima baik keputusan ICJ yang memerintahkan Israel supaya tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam operasi ketenteraannya di Gaza.

"Ia merupakan penghakiman bermakna bagi semua yang mahu melihat keamanan di Palestin,” lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Fikile Mbalula, setiausaha agung parti Kongres Nasional Afrika (ANC) yang memerintah, kepada pemberita.

Pegawai ANC yang menghadiri mesyuarat parti, termasuk Ramaphosa, menyaksikan siaran langsung keputusan ICJ itu.

Ketika mahkamah membuat keputusan sementara itu, Presiden Ramaphosa, para menteri dan ahli parti lain dilihat bergembira, lapor AA.

"Biar sejarah mencatat bahawa #Afrika Selatan memimpin masyarakat antarabangsa dalam perjuangan untuk memberi makna kepada "never again"....! Rakyat #Palestin juga mempunyai hak untuk hidup,” menurut Clayson Monyela, jurucakap Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama di X.

Pada 29 Disember, Afrika Selatan memfailkan saman di ICJ meminta injunksi terhadap Israel atas alasan bahawa serangan Israel ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.

Dalam keputusan sementara bagi kes pembunuhan beramai-ramai di The Hague pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel supaya mengambil "semua langkah dalam kuasanya" untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.

Mahkamah juga memerintahkan Israel mengambil langkah segera dan berkesan untuk membolehkan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Semenanjung Gaza. - Bernama