Mahkamah Sesyen KL jadi tumpuan pendakwaan kes Tun Daim

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin
A
A
A

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan bagi kes pendakwaan yang dihadapi oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin.

Difahamkan, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9 atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kes tersebut akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi, pada Isnin.

Pertuduhan terhadap Daim antara yang mendapat perhatian ramai dan perbicaraan kes akan diikuti rapat.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di mahkamah, namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut agensi berkenaan, kertas siasatan bagi kes tersebut telah dibuka pada Februari tahun lalu.

Sementara itu minggu lepas, isteri kepada Tun Daim iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid juga telah didakwa gagal mematuhi notis SPRM.

Artikel Berkaitan:

Beliau dikatakan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Toh Puan Na'imah mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan berkaitan pertuduhan itu.

Difahamkan, sebelum ini beliau didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak menyasarkan mana-mana bekas pemimpin, susulan tindakan SPRM yang melakukan siasatan berkaitan rasuah.

Menurutnya, agensi berkenaan hanya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi membanteras rasuah tanpa mengira status dan kedudukan.

Beliau turut menegaskan tertuduh tidak perlu berasa bimbang kerana siasatan dijalankan secara teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh.

Oleh itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang andaian mengenai kes tersebut sehingga ia selesai dibicarakan.