Tiga pengarah syarikat antara 4 ditahan kes pelaburan Yomaex

Ramli - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramli - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga individu berperanan sebagai pengarah syarikat dan seorang pencari akaun keldai yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan Yomaex.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan terbaru itu melibatkan empat lelaki berusia lingkungan 37 hingga 63 tahun, sekali gus menjadikan jumlah tangkapan seramai 45 orang.

"Siasatan kes ini masih diteruskan dan kita sedang dalam tindakan untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli-ahli sindiket yang lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini pada Isnin.

Ramli berkata, pihaknya telah membuka sembilan lagi kertas siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan Yomaex melibatkan nilai kerugian RM5,173,262.75.

"Jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka terhadap skim penipuan pelaburan ini adalah 85 membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM55,795,343.48," katanya.

Pada 3 November lalu, Ramli dilaporkan berkata, skim itu menawarkan pelaburan berasaskan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.

Setiap pelabur yang menyertai skim itu akan diberikan akses untuk memantau urus niaga yang dilakukan melalui sistem yang dikendalikan pihak syarikat.

Polis mengesan sebanyak 63 akaun bank yang dipercayai didaftarkan semata-mata operasi sindiket itu, melibatkan 32 syarikat dan 19 perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, sebanyak 41 kes berkaitan penipuan pelaburan CCF Trade dan EXGCOO 2023 sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia melibatkan nilai kerugian RM8.05 juta.

Katanya, siasatan mendapati sindiket menawarkan skim pelaburan itu melalui laman sosial untuk mencari mangsa dengan tawaran pulangan tinggi

"Skim pelaburan yang ditawarkan adalah berasaskan transaksi jual beli saham di Malaysia serta pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong.

"Pelabur yang berminat akan diminta untuk memuat turun aplikasi bagi tujuan pelaburan, mangsa akan melihat akaun mereka menjana keuntungan, namun ia tidak dapat dikeluarkan," katanya.

Ramli berkata, mangsa skim pelaburan itu direkodkan berusia dalam lingkungan 29 hingga 79 tahun dan terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dengan majoritinya adalah pesara serta ahli perniagaan.

"Kita menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan ini segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.