Mansuh pencen: Rundingan segera kerajaan, Cuepacs

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera mengadakan rundingan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung isu pemansuhan skim pencen kepada penjawat awam yang baru dilantik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, Cuepacs mempunyai hak selaku suara 1.6 juta penjawat awam.

Katanya, ketegasan Cuepacs perlu diambil kira secara serius kerana ia melibatkan periuk nasi bakal penjawat awam yang baharu.

"Bersatu selari dengan ketegasan Cuepacs bahawa skim gaji ketika ini masih rendah dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu simpanan hari tua yang baik. Langkah sedemikian adalah sesuatu tidak masuk akal.

"Tugas sebenar kerajaan adalah menunjukkan jalan pemulihan ekonomi yang berhemah dan bukannya berhelah seperti sekarang ini. Kesegeraan rundingan antara Cuepacs dan kerajaan perlu diambil tindakan tuntas," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Cuepacs tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan yang akan memansuhkan skim pencen untuk lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia kerana secara puratanya penjawat awam berkhidmat kepada negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan selain pencen juga menjadi skim yang lebih menjamin kesejahteraan mereka selepas bersara.

Tambah Razali, Kerajaan Perpaduan diharap tidak menganiaya penjawat awam disebabkan kegagalan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jangan sampai penjawat awam turun jalanan bagi 'Langkah Putrajaya' sebagai protes aman dan hak bersuara mengikut Perlembagaan.

"Jangan usik hati nurani penjawat awam dan anak-anak Malaysia yang menzahirkan untuk berkhidmat dalam sektor awam, tetapi kesudahannya apa lagi punya tarikan, hanya sekadar lantikan kontrak serta tidak berpencen," jelasnya.