ADUN Pantai Jerejak tawar diri potong pencen

Fahmi
Fahmi
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menawarkan diri sebagai individu pertama dalam kelompok ahli politik untuk dipotong pencen perkhidmatan.

Beliau berpendapat, pemansuhan skim pencen itu perlu selaras bukan sahaja melibatkan penjawat awam baharu, malah ahli politik baharu dan berkhidmat sepenggal juga wajar dikenakan tindakan sama.

"Hal ini harus bergerak seiring, mungkin tidak adil bagi wakil rakyat yang telah berkhidmat dalam tempoh yang panjang dikenakan perkara yang sama.

"Namun begitu, bagi ahli politik yang baru atau berkhidmat sepenggal dilihat relevan untuk tidak memperoleh pencen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan Malaysia (MPP) berkata, penghapusan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dalam kalangan wakil rakyat bukan sahaja dilihat mampu memberi keadilan, malah dapat memastikan kesamarataan diberikan kepada semua tanpa mengira ahli politik mahupun penjawat awam biasa.

Katanya, pemansuhan skim pencen dalam kalangan ahli politik juga dilihat mampu mengurangkan perbelanjaan negara.

"Dengan adanya pemansuhan skim pencen ini, lebih banyak dana perbelanjaan mampu dijimatkan serta dapat disalurkan untuk keperluan lain yang lebih utama," katanya.

Tambahnya, penggantian satu kaedah baharu bagi menggantikan skim pencen kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kalangan wakil rakyat harus dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila ditukarkan kepada caruman KWSP, manfaat caruman yang boleh dinikmati menteri atau ahli politik bergantung kepada prestasi pelaburan tabungan berkenaan.

"Hal ini dilihat adil kerana ia bergantung kepada apa yang dilaburkan berbanding dengan skim pencen, walau hanya berkhidmat sepenggal namun wakil rakyat mendapat 'pampasan' melebihi hasil yang dilakukan.

"Kesimpulannya, pemansuhan skim pencen dalam kalangan wakil rakyat wajar dilaksanakan supaya keadilan dan kesamarataan dapat dinikmati bersama. Saya turut berharap hasrat ini dapat direalisasikan bagi mewujudkan reformasi Malaysia yang lebih baik," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu akan membuat caruman menerusi KWSP.