Hapuskan pencen ahli politik, nilai semula gaji, elaun penjawat awam

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk menghapuskan pencen ahli politik terlebih dahulu dan menilai semula gaji serta elaun penjawat awam di negara ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dua perkara penting itu perlu dibawa dalam sidang Parlimen akan datang kerana langkah memansuhkan sistem berpencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap dilihat tidak wajar.

Menurutnya, golongan berkenaan tidak lagi menerima pencen sedangkan pada masa sama, ahli politik masih menerimanya ‘bertingkat-tingkat’ yang jika digabungkan boleh mencecah RM100,000 sebulan iaitu 100 kali ganda daripada pencen penjawat awam biasa.

“Penjawat awam perlu berkhidmat sehingga 50 ke 60 tahun untuk dapat pencen sedangkan ahli politik apabila menang sahaja terus layak, tempoh berkhidmat pula lima tahun.

“Ini belum dicampurkan dengan habuan ‘government linked company’ (GLC), dulu kerajaan yang sama janjikan tidak akan membuat lantikan politik, tapi kini memperluaskan habuan GLC untuk ahli mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Langkah tersebut dikatakan bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan yang bakal menampung jumlah pencen sebanyak RM120 bilion setahun.

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memaklumkan, penilaian semula gaji dan elaun penjawat awam perlu dilaksanakan kerana kali terakhir ia dinaikkan adalah pada 2013 iaitu 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ada di antaranya berkhidmat dengan gaji permulaan RM1,441 walaupun gaji minimum ditetapkan pada RM1,500.

“Pegawai polis bersengkang mata bagi menjaga keselamatan orang awam tapi tidak dibayar elaun kerja lebih masa.

“Mereka hanya dibayar RM200 sebulan bagi menggantikan elaun kerja lebih masa. Ini masanya untuk kerajaan walk the talk,” ujarnya.