Penjawat awam sedia ada pilih skim pencen, tidak akan terjejas - Amir Hamzah

Amir Hamzah pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini. Foto Bernama
Amir Hamzah pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam sedia ada yang memilih skim pencen tidak akan terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pada sidang media pertamanya di sini hari ini, beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam dan pesara sentiasa terbela.

"Saya ingin menekankan daripada segi pencen kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah (skim pencen) kepada mereka yang dah ada, jadi kalau penjawat awam itu dah bekerja dengan kerajaan tiada apa akan bertukar, (cuma) untuk mereka yang baru masuk, dia akan masuk secara kontrak buat masa sekarang.

"Siapa yang dah ada dalam sistem sekarang kita tak ubah, itu adalah janji yang kita telah buat,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican.

Amir Hamzah yang dilantik menyertai Kabinet pada 12 Disember lepas susulan rombakan Kerajaan Perpaduan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tahun ini kerajaan memperuntukkan RM31 bilion untuk pembayaran pencen kepada pesara dan angka itu dijangka meningkat ke RM120 bilion pada 2040.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dari segi pengurusan kewangan negara, 48 peratus Belanjawan negara disalurkan kepada emolument dan pencen.

"Jika dapat ringankan beban (kerajaan) yang ada, boleh salur kelebihan tu kepada bahagian lain yang penting untuk rakyat dan negara seperti pendidikan dan kemudahan infratsruktur yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan memahami peranan penjawat awam dalam pentadbiran negara penting dan justeru itu kerajaan komited menambah baik kebajikan penjawat awam, antaranya pembayaran bonus RM2,000 yang akan dibayar bulan depan, serta peruntukan RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.

"Kerajaan juga akan memuktamadkan pelarasan gaji penjawat awam tahun ini selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Secara keseluruhan, kerajaan peka dan akan buat yang penting untuk kebaikan penjawat awam,” katanya.

Selasa lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari, menyatakan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam pekeliling itu memaklumkan susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu itu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah itu, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilapor berkata pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen. - Bernama

@sinarharianonline

Penjawat awam sedia ada pilih skim pencen, tidak akan terjejas - Amir Hamzah #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Pencen #PenjawatAwam #Pesara

Ring (Originally Performed by Selena Gomez) [Instrumental Version] - Hit The Button Karaoke