Skim tidak berpencen turut terpakai kepada ahli, lantikan politik - Anwar

Anwar ketika ditemui petugas media di Desa Sri Hartamas pada Jumaat.
Anwar ketika ditemui petugas media di Desa Sri Hartamas pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan skim tidak berpencen bagi kemasukan penjawat awam baharu turut terpakai bagi ahli dan lantikan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyatakan ia termasuk wakil rakyat.

"Apa juga keputusan untuk penjawat awam akan terpakai juga kepada ahli-ahli politik. Maknanya, kita mula pada 1 Februari 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk pelantikan baharu ahli politik.

"Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan perlembagaan, kita boleh kaji tetapi tidak boleh kebelakangkan retrospektif.

"Untuk yang baharu kita boleh kaji, saya ingat kita tidak ada masalah untuk kita hendak tukar penyesuaian itu. Secara prinsipnya saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat kepada pejawat awam, terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian (itu) dibawa (dan) jemaah menteri yang memutuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas pada Jumaat.

Kabinet pada Rabu dilaporkan bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan yang akan memansuhkan skim pencen untuk lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik, jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam selepas ini.


______________________________________________________________________________________________________________________________________________

H: Masuh skim pencen: Kerajaan perlu ambil kira pandangan semua pihak

SEREMBAN - Cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen penjawat awam yang baharu perlu diperhalusi dengan sebaiknya dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran, Mohd Azizee Hasan berkata, satu sesi libat urus serta penerangan yang jelas terutama bentuk skim baharu yang dicadangkan perlu diadakan sebelum keputusan dibuat.

Mohd Azizee
Mohd Azizee



"Sekiranya kerajaan ingin memansuhkan skim ini , ia dibimbangi menyebabkan ramai penjawat awam berpindah ke sektor swasta dan ini akan merugikan sektor awam.

" Ini kerana kebanyakan penjawat awam bekerja di sektor pendidikan dan kesihatan yang merupakan sektor penting negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menawarkan skim perkhidmatan yang lebih baik dan menjamin masa depan penjawat awam jika mahu membuat perubahan terhadap skim terbabit.

" Kita berharap satu skim yang lebih bermanfaat kepada penjawat awam dan jika skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin diwujudkan maka skim gaji sedia ada perlu dinaikkan untuk manfaat simpanan yang lebih," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi KWSP.