Projek tebatan RM100 juta atasi banjir di pekan Sungai Lembing

Mohd Shahar (tengah) menaiki bot bagi menyalurkan bantuan berupa makanan kepada mangsa yang terlibat dengan banjir di Pekan Sungai Lembing di Kuantan.
Mohd Shahar (tengah) menaiki bot bagi menyalurkan bantuan berupa makanan kepada mangsa yang terlibat dengan banjir di Pekan Sungai Lembing di Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mula melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kenau bagi meminimakan kesan bencana banjir di pekan Sungai Lembing.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, projek yang bernilai RM100 juta dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu sudah dimulakan November tahun lalu mengguna kaedah 'reka dan bina'.

"Insya-ALLAH, November 2026, projek ini akan selesai dan kita jangka dapat kurangkan kepada paras minima mangsa yang terkesan (banjir) di pekan Sungai Lembing ini.

"Sebab itulah, saya datang beberapa kali untuk melihat bagaimana corak banjir di sini. Apabila projek ini (tebatan banjir) dibuat secara 'reka dan bina' sudah pasti ia mengambil kira pandangan masyarakat, orang lama... bagaimana arah aliran sungai yang menyumbang kepada banjir di sini," katanya ketika ditemui pemberita di pekan Sungai Lembing pada Jumaat.

Mohd Shahar berkata, projek tersebut melibatkan kerja-kerja mendalamkan sungai, membina benteng kiri dan kanan sungai sejauh tujuh kilometer meliputi kawasan Sungai Lembing bermula di kampung Sungai Kenau hingga ke Sungai Rimau.

"Kita betulkan balik (semula) sistem aliran dalam pekan Sungai Lembing dan menempatkan pam di lokasi tertentu, jika berlaku banjir termenung.

"Bila kita sekat air sungai daripada mengalir, kita (perlu) kena ingat pekan ini banjirnya air juga datang dari bukit," jelasnya.

Mohd Shahar menjelaskan pendengaran awam akan diadakan pada Ahad ini bagi memaklumkan kepada masyarakat tentang reka bentuk awal projek terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mereka akan menilai adakah langkah yang dikemukakan itu nanti dapat membantu mengatasi bencana banjir pada tahap yang minima.

Mengulas pelan jangka pendek, Mohd Shahar berkata, pihaknya memastikan longkang yang berada di sekitar sungai lembing ini di urus dengan baik

"Kita dapat lihat banjir tidak termenung di pekan Sungai Lembing kerana semua agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan sentiasa ambil cakna tentang laluan air," katanya

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat, empat pemindahan sementara (PPS) termasuk di Daerah Rompin.

Jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 551 mangsa membabitkan 224 keluarga.

Tiga PPS dibuka di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, Dewan Orang ramai Kampung Gelugor dan Bengkel Jahitan kemas manakala di Rompin pula Dewan Orang Ramai Bukit Ibam hanya melibatkan dua keluarga.