Bomba Pahang siap sedia hadapi bencana banjir


Suhaimi (tiga dari kiri) diiringi Abdul Wahab (dua dari kiri)mengadakan lawatan ke gerai pameran yang mengambil bahagian sempena Pelancaran Kesiapsiagaan MTL JBPM 2023/2024 di Pekan Riverfront di sini pada Sabtu.
Suhaimi (tiga dari kiri) diiringi Abdul Wahab (dua dari kiri)mengadakan lawatan ke gerai pameran yang mengambil bahagian sempena Pelancaran Kesiapsiagaan MTL JBPM 2023/2024 di Pekan Riverfront di sini pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Sebanyak 1,144 kenderaan dan jentera pelbagai fungsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada keadaan baik dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana sekiranya diperlukan.

Ia termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat, kenderaan marin, aset udara (helikopter dan drone).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Suhaimi Ali @ Ahmad berkata, semua kenderaan dan jentera terbabit telah diperiksa dan menjalani pengujian menyeluruh melalui Program Monsun Timur Laut (MTL) Log Day di seluruh negara pada Sabtu.

Menurutnya, MTL Log Day diadakan di 337 balai bomba dan penyelamat dan 48 zon pentadbiran bomba.

"JBPM telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi MTL kali ini di mana kesemua 337 balai bomba dan penyelamat dan 358 balai pasukan bomba sukarela di seluruh negara telah bersiap sedia menghadapi segala bentuk kecemasan.

"Keseluruhan keanggotaan seramai 24,283 anggota merangkumi 13,435 pegawai bomba sepenuh masa, 2,204 pegawai bomba bantuan dan 7,898 pasukan bomba sukarela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memyempurnakan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan MTL JBPM 2023/2024 di Pekan Riverfront di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:


Suhaimi mengadakan lawatan ke gerai pameran yang mengambil bahagian sempena Pelancaran Kesiapsiagaan MTL JBPM 2023/2024 di Pekan Riverfront di sini pada Sabtu.
Suhaimi mengadakan lawatan ke gerai pameran yang mengambil bahagian sempena Pelancaran Kesiapsiagaan MTL JBPM 2023/2024 di Pekan Riverfront di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Suhaimi berkata, kesiapsiagaan JBPM itu melibatkan keseluruhan keanggotaan dan logistik termasuk koordinasi serta elemen-elemen seperti latihan bersama, aktiviti rondaan dan analisa risiko di titik-titik panas yang telah dikenalpasti.

"la juga turut melibatkan tindakan menganalisa kesan sekunder seperti tanah runtuh, pokok tumbang serta kawasan terputus hubungan yang memerlukan khidmat bantuan daripada jabatan.

"Menerusi maklumat dikongsi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), JBPM telah memberikan tumpuan kepada 5,648 lokasi kawasan berisiko banjir, 186 lokasi berisiko berlaku kepala air dan 254 lokasi kawasan cerun kritikal telah dikenal pasti berdasarkan kepada insiden banjir berulang dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini," jelasnya.

Tambah beliau, pengenalpastian lokasi titik panas itu bukan sahaja dapat membantu pasukan-pasukan kecemasan untuk bersiapsiaga malah ia turut memberi maklumat awal kepada penduduk di kawasan terlibat untuk sentiasa peka dan bersedia menghadapi bencana

"Sebanyak 750 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di Pahang terutama di daerah Lipis, Raub dan Maran.

"Selain itu, tiga kawasan dikenal pasti berisiko kepala air dan 25 kawasan berisiko sebagai cerun kritikal di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, cuti pegawai dan anggota dibekukan secara berperingkat mengikut daerah di peringkat negeri sekiranya berlaku banjir.

"Sekiranya keadaan banjir serius, cuti semua anggota akan dibekukan," katanya.