Peguam 'songlap' duit lebih RM300,000 hasil jual beli rumah

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan kerugian lebih RM300,000 selepas wang hasil penjualan rumah miliknya ‘disonglap’ oleh peguam yang dilantik bagi urusan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, susulan itu satu laporan diterima pihaknya daripada mangsa berusia 60 tahun pada 19 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati peguam terbabit dan ejen hartanah menguruskan penjualan rumah milik pengadu (mangsa) sekitar Ogos tahun lalu, namun hasil penjualan itu tidak diserahkan.

"Mangsa telah pergi ke firma guaman itu pada Januari lalu dan dimaklumkan oleh kakitangan bahawa wang itu telah digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.

“Pada hari sama, pengadu diberikan sekeping cek bernilai RM333,323. Namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik akaun iaitu firma guaman terbabit atas sebab tidak diketahui," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan mangsa dengan pejabat tanah mendapati rumah miliknya sudah dipindah milik kepada pemilik baharu.

Katanya, tindakan telah diambil mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, sebanyak 88 kes dilaporkan berkaitan pecah amanah jenayah dilakukan oleh peguam membabitkan kerugian berjumlah RM88.3 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tempoh 1 hingga 24 Januari lalu, terdapat lapan kes dicatatkan dengan kerugian RM7.4 juta membabitkan kes pecah amanah jenayah oleh peguam," ujarnya.

Jelasnya, meskipun peratusan kes dicatatkan hanya 0.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan 21,570 peguam berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia pada 2023, purata kerugian dicatatkan amat membimbangkan.

Justeru, Ramli menggesa pembabitan Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman dilaksanakan dalam menangani isu salah laku oleh peguam.

“Pihak polis juga mencadangkan supaya prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun itu.

“Jika ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu mekanisme efektif bagi mencegah berlakunya kes pecah amanah jenayah oleh peguam sekali gus mengelakkan pengubahan wang haram,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya mengingatkan segelintir badan bukan kerajaan (NGO) untuk tidak memanipulasi situasi jenayah komersial dengan menawarkan khidmat kepada manga bagi dapatkan semula wang yang ditipu.

Ramli berkata, NGO terlibat dipercayai mengenakan caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan walaupun tiada sebarang jaminan diberikan untuk mangsa peroleh semula wang yang ditipu.

"Berdasarkan sistem perundangan di negara ini, sebarang tuntutan pampasan, kerugian dan seumpamanya, mangsa perlu memfailkan tuntutan melalui Mahkamah.

"Prosedur tuntutan ini hanya boleh dikendalikan oleh individu profesional yang terdiri daripada pengamal undang-undang yang bertauliah," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sebarang tawaran perkhidmatan yang berbentuk ‘debt collector’ oleh pihak NGO perlu dinilai dan difikirkan dengan sebaik mungkin kerana ianya tidak dilindungi di bawah undang-undang.

Jelasnya, dikhuatiri, caj perkhidmatan yang dibayar hanya akan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian tambahan di samping kerugian yang telah dialami.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, JSJK telah membuka sebanyak 1,918 kertas siasatan melibatkan nilai kerugian RM92 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Januari 2024 sekali gus berlaku peningkatan 42.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2023 (1,344 kes).

Katanya, kes-kes penipuan dalam talian terus mencatatkan jumlah tertinggi daripada jumlah keseluruhan kes yang disiasat iaitu sebanyak 1,654 atau 86.2 peratus dengan nilai kerugian mencecah RM72 juta.

“Berlaku peningkatan 81 peratus berbanding nilai kerugian yang direkodkan bagi tempoh sama tahun 2023 iaitu sebanyak RM39 juta,” katanya.

Tegasnya, trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan membimbangkan dan diharap lapisan masyarakat untuk sama-sama bertindak dan mengambil bahagian dalam usaha pencegahan jenayah komersial.