Pesakit buah pinggang kronik dituduh terima wang tanpa lesen sah

Tertuduh (tengah) yang merupakan pesakit buah pinggang tahap akhir mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh (tengah) yang merupakan pesakit buah pinggang tahap akhir mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya.
A
A
A
BUTTERWORTH - Seorang pesakit buah pinggang menghadapi satu pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah daripada seorang wanita di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Sai Bee Nyean, 59, dari Paya Terubong, Air Itam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menggunakan tongkat didakwa menerima deposit daripada Wan Hamisah Ahamad berjumlah RM103,635 antara Mei hingga Ogos 2022 tanpa lesen yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lorong Melor Sintat, Garden Off Jalan Raja Uda,Butterworth.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin kepada tertuduh.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Sementara tertuduh diwakili peguam Ch'ng Kim Hock.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding mahkamah, Wan Amira tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Kim Hock bagaimanapun memohon mahkamah memberi jaminan berikutan anak guamnya merupakan pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis hampir setiap hari.

"Sekiranya mahkamah tidak membenarkan jaminan, ia akan membahayakan nyawa tertuduh kerana dia merupakan pesakit buah pinggang tahap akhir.

"Ini adalah alasan untuk kita menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi penelitian pertuduhan.

"Lagi pun, wang jaminan ini hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, bukannya untuk tujuan lain. Kita akan serahkan laporan perubatan kepada mahkamah nanti," katanya.

Zulhazmi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditangguh sehingga 26 Februari untuk serahan dokumen.